Selepas 3 perlawanan unifi Liga Super Malaysia 2018, para penyokong skuad Helang Merah meluahkan kebimbangan mereka dengan prestasi penyerang import, Pablo Pallares yang mempamerkan persembahan yang tidak begitu menyakinkan.
Pengerusi Kelab Penyokong Kedah Darul Aman, Nor Asmadi Hamzah berkata kepada Sinar Harian, rata-rata penyokong Kedah meragui kemampuan pemain dari Sepanyol itu yang dipilih sendiri oleh Ketua Jurulatih pasukan itu, Ramon Marcote.
Menurutnya, pemain yang pernah bersama Sociedad Deportiva Ponferradina di Liga Sepanyol pada musim 2017 hanya menjaringkan dua gol dalam 28 perlawanan.
“Rata-rata penyokong Kedah memang tidak gembira dengan rekod yang dimiliki oleh Pablo bersama kelab-kelab lamanya sebelum ini dan kami hairan bagaimana Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) boleh menerima pemain itu beraksi bersama Kedah musim ini.
“Mana ciri-ciri Pablo sebagai penyerang, jika begini prestasinya lebih baik beliau diberi amaran dan jika masih gagal kami sarankan pasukan menggunakan penyerang tempatan sahaja,” katanya ketika dihubungi oleh Sinar Harian.
Asmadi turut meminta akan agar Marcote melakukan sesuatu untuk mengembalikan semula keyakinan peminat terhadap penyerang itu.
“Sudah tiga perlawanan Liga Super 2018 termasuk beberapa siri persahabatan Pramusim 2018, kami tengok Pablo seolah-olah masih lagi mencari rentak.
“Pengurusan perlu minta Marcote lakukan sesuatu atau menyesuaikan taktikal dengan kemampuan Pablo namun pada waktu yang sama perubahan tersebut diharap tidak akan menganggu rentak pasukan secara keseluruhan,” katanya.
Sementara itu, bekas Ketua Jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah meminta penyokong Kedah bersabar dan memberi masa untuk Pablo Pallares untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan Liga Malaysia.
“Jika kita melatah sekarang sudah tidak berguna kerana pintu perpindahan pemain import pertama sudahpun ditutup, jadi buat masa sekarang terus beri peluang kepada Pablo dan diharapkan akan ada impak pada beberapa perlawanan akan datang,” katanya.
Pallares berjaya menjaringkan gol pembukaan ketika aksi Piala Sumbangsih menentang juara Liga Super 2017, JDT di Stadium Larkin minggu lepas. Walaupun menjaringkan gol, penyokong Kedah menyifatkan pemain itu masih gagal memberi impak kepada pasukan ketika perlawanan menentang Perak dan PKNP FC.
Dia gagal menemui sentuhan penyudah yang tepat walaupun dihidangkan dengan deretan peluang untuk menghasilkan jaringan.
“Saya tidak berasa tertekan kerana ini perkara biasa dalam bola sepak. Semua orang dan penyokong pasti mengharapkan aksi terbaik daripada saya.
“Setiap perlawanan saya cuba untuk memperbaiki sentuhan,” kata Pallares.
Namun begitu, Marcote tetap mempertahankan persembahan Pallares dan berharap agar peminat memberikan ruang dan peluang buat pemainnya itu untuk membuktikan kemampuan
sebenar selepas ini.
“Anda tidak boleh mengharapkan Pallares melakukan setiap gerakan dan menggelecek semua pemain lawan seorang diri. Dia adalah penyerang, perlu mendapatkan lorongan bola dan dia akan cuba menjaringkan gol,” ujar Marcote.