Pemain antarabangsa Brazil, Roberto Firmino percaya jentera serangan Liverpool kini semakin berkembang selepas pemergian rakan senegaranya, Phillipe Coutinho ke Barcelona dan mengakui sudah bersedia untuk membuatkan Porto ‘merana’ di Estadio do Dragao, Portugal.
Kedua-dua pasukan bakal membuat perhitungan pada pagi esok dalam saingan pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah.
Firmino telah menjaringan 20 gol dalam 36 penampilannya bersama Liverpool musim ini termasuk empat daripadanya menjelma dalam enam perlawanan terakhir.
Prestasi Mohamed Salah pula tidak perlu diperkatakan lagi semenjak kehadirannya di Anfield pada musim panas yang lalu.
”Coutinho merupakan seorang pemain yang hebat dan sudah tentu kehilangannya memberikan tanggungjawab yang berat buat semua pemain untuk beraksi dengan baik tanpa beliau,” jelas Firmino menjelang perlawanan bertemu Porto.
”Ia adalah tugas kami untuk melaksanakan tanggungjawab yang lebih besar dan saya merasakan kami melakukan tugasan dengan cukup baik ketika ini.”
”Saya akan melakukan apa yang saya dapat lakukan untuk membantu (Mohamed Salah) menghasilkan jaringan dan membantu rakan sepasukan. Saya juga ingin membantu diri sendiri untuk mengecapi musim yang baik.”
”Saya tidak tahu sekiranya Porto akan takut dengan kami tetapi kami perlu membuatkan ‘hidup mereka sukar dan merana’.”
Roberto Firmino telah mencipta enam jaringan dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah yang menyaksikan Liverpool berada di tangga teratas kumpulan E.
Beliau turut mengharapkan agar dapat menambah koleksi jaringannya untuk membuktikan beliau adalah antara penyerang terbaik di Eropah.
”Saya akan mencuba untuk memberikan persembahan yang maksimum buat pasukan dan berusaha untuk bersama-sama menjadi antara pemain terbaik di Eropah.”
”Sudah tentu saya mahu berada di tahap tersebut tetapi saya hanya fokus untuk beraksi dengan baik. Sekiranya saya beraksi dengan baik, jaringan serta matlamat itu akan muncul.”