Juventus gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di tempat sendiri dan mendahului dengan dua gol selepas diikat wakil England, Tottenham Hotspur 2-2 pada aksi menarik yang berlangsung di Allianz Stadium dalam saingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah pagi tadi.
Tuan rumah yang mendapat sokongan padu daripada penyokong sendiri tidak menunggu lama bagi membuka tirai jaringan selepas Gonzalo Higuain menemui sentuhan jaringan seawal minit kedua perlawanan.
Tonggak serangan Juventus itu berjaya menyempurnakan peluang dengan melakukan percubaan voli hasil umpanan dari sepakan percuma Miralem Pjanic yang terus membocori gawang Tottenham.
Higuain terus melebarkan penguasaan buat Juventus selepas dengan tenang menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-9 walaupun penjaga gol Totenham, Hugo Lloris sudah dapat menepis sepakan tersebut.
Namun ianya belum cukup untuk menghalang jaringan kedua buat anak buah Massimiliano Allegri itu.
Sepakan penalti tersebut diberikan setelah pertahanan Spurs, Ben Davies mengasari Federico Bernardeschi dalam kotak penalti.
Spurs kembali memperkemaskan aksi untuk bangkit daripada ketinggalan dua jaringan dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-35.
Jaringan tersebut menjelma apabila Delle Alli melakukan lorongan cantik kepada Harry Kane yang melepasi perangkap ofsaid pertahanan tuan rumah dan seterusnya berjaya membolosi gawang Juventus yang dikawal Gianluigi Buffon untuk merapatkan kedudukan.
7 – Harry Kane has equalled the record for the most goals scored by an English player in a single Champions League season (7), level with Steven Gerrard in 2008-09. Comeback. pic.twitter.com/NRIrtXw0Zi
— OptaJoe (@OptaJoe) February 13, 2018
Juventus sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti pada penghujung babak pertama berikutan kekasaran yang dilakukan Serge Aurier terhadap Douglas Costa dalam kotak penalti.
Namun sepakan kedua Higuain tidak bernasib baik berikutan sepakan yang dilakukannya hanya mengenai palang gol untuk keputusan 2-1 kekal hingga tamat babak pertama.
Tottenham Hotspur akhirnya memperoleh jaringan penyamaan pada minit ke-71 menerusi sepakan percuma yang dilakukan Christian Eriksen bagi memberikan kelebihan dua jaringan di tempat lawan menjelang aksi kedua di Wembley pada bulan Mac nanti.