Pendatang baharu Liga Super 2018, Negeri Sembilan menerima tamparan hebat apabila tidak dapat menggunakan khidmat penjaga gol muda yang berbakat besar, Ahmad Syihan Azmi.
Hal ini disahkan sendiri oleh pengurus skuad itu, Datuk Mohd Haslah Mohd Amin yang mengesahkan bahawa Syihan yang juga merupakan salah seorang pemain skuad B-23 tahun negara, positif doping semasa menghadapi Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di China bulan lepas.
Keputusan ujian doping sampel A yang dijalankan di Kunshan, China mendapati Syihan mengambil Steroid anabolik yang bertujuan untuk membantu pembinaan otot.
Difahamkan, Syihan digantung selama 60 hari dan pihak Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) tidak membenarkan Syihan diturunkan dalam mana-mana perlawanan Liga Malaysia musim ini.
“Syihan digantung 60 hari kerana gagal ujian doping semasa kejohanan AFC U23.” – Datuk Haslah
😱
— TJs (@TheJangsN9) February 12, 2018
Datuk Mohd Haslah turut mengesahkan Syihan kini sedang menunggu proses siasatan yang akan dikendalikan oleh pihak Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
“Kami telah diberitahu oleh pihak FAM bahawa Syihan digantung daripada beraksi apabila positif mengambil bahan terlarang tersebut.
“Pada pandangan saya, Syihan tidak menyedari bahawa makanan tambahan yang diambilnya mengandungi bahan terlarang,” katanya kepada Stadium Astro
Kes doping ini membuatkan masa depan Syihan bersama Negeri Sembilan dilihat semakin samar.
Walaupun belum ada sebarang keputusan, Haslah berkata satu perbincangan mengenai masa depan Syihan bersama Negeri Sembilan akan diadakan secepat mungkin.
#BeStrongSyihan Semoga tabah menghadapi segala cabaran dan dugaan.
❤️🖤💛#NegeriSembilan#HobinJangHobin#PoweredByMatrix pic.twitter.com/eX5kvYoinL
— Team N9FC (@TeamN9FC) February 12, 2018
“Buat masa ini, Syihan tidak dapat diturunkan beraksi dalam mana-mana aktiviti yang berkaitan dengan bola sepak. Kami akan berbincang mengenai kontraknya dalam masa terdekat,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam, turut memaklumkan bahawa Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) diberi tempoh masa tertentu untuk mencari pengganti Syihan.
Menurutnya, FMLLP tidak boleh membenarkan Syihan beraksi sepanjang tempoh siasatan biarpun pemain itu belum didapati bersalah.
Menurut setiausaha agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato Haji Hamidin Amin berkata, Syihan telah memohon supaya sampel B diuji dan ia telah pun dibuat semalam, kini hanya menunggu keputusannya sama ada kekal positif atau negatif.
AFC akan mengambil tindakan lanjut selepas menerima keputusan rasmi ujian sampel B berkenaan dan buat masa ini, Syihan tidak dibenarkan beraksi bersama Negeri Sembilan sepanjang tempoh penggantungan sementara 60 hari itu.