Melaka United tekad bangkit pada perlawanan ketiga unifi Liga Super Malaysia ahad ini selepas gagal meneruskan momentum kemenangan selepas tewas 1-4 kepada Selangor dalam aksi kedua Liga Super di Stadium KLFA Cheras.
Kesilapan penjaga gol Melaka United, Zamir Selamat yang tersilap mengeluarkan bola dari kawasan bahaya, sekali gus berjaya disambar Muhd Syahmi Safari yang mudah menolak masuk gol dalam keadaan gawang yang kosong mengundang kritikan pedas daripada penyokong mereka.
Gol tersebut memberi peluang Selangor mendahului dan seterusnya berjaya mendapatkan dua gol pada minit ke-66 dan 89 untuk mencatat kemenangan bergaya di laman sendiri.
Jurulatih Melaka United, Eduardo Almeida tidak mahu sesiapa dipersalahkan dalam hal ini kerana kesilapan itu biasa berlaku dalam dunia bola sepak.
“Saya tidak kecewa dengan sesiapa pun. Saya cuma kecewa dengan keputusan yang kami perolehi apabila gagal mengutip tiga mata di sini.
“Mengenai Zamir, saya tidak perlu meletakkan kesalahan di bahunya. Ada satu masa dia menjadi hero kami dengan menyelamatkan penalti, dan kemudian dia melepaskan satu gol yang tidak sepatutnya dilakukan.
“Tapi itulah bola sepak. Saya tidak boleh menyalahkan beliau sebab saya yakin dia tidak berniat untuk melakukan kesilapan itu,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berharap barisan pemainnya kembali bangkit pada perlawanan menentang Negeri Sembilan ahad ini bagi menyakinkan semula penyokong skuad Hang Tuah itu.
“Selepas kehilangan tiga mata di tangan Selangor kami perlu memastikan tiga mata dapat kami perolehi ketika bertemu Negeri Sembilan nanti.
“Tetapi untuk itu ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki antaranya kami perlu lebih aggresif dalam aspek menyerang,” jelasnya.