Pengurus Manchester United, Jose Mourinho mengakui pasukannya semakin sukar bagi mengejar musuh setempat, Manchester City dalam usaha untuk merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Ketinggalan 15 mata membuatkan pengendali dari Portugal itu mengangkat bendera putih berikutan kekalahan Manchester United keatas Tottenham Hotspur dan Manchester City terus mencipta kemenangan pada perlawanan pertengahan minggu ini.
Jose Mourinho juga turut mengakui bahawa skuad bimbingannya tidak akan mampu untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris dan mendesak agar Manchester United dapat menamatkan saingan musim ini di tangga kedua liga.
Manchester City tampak semakin sukar untuk digugat dengan saingan hanya berbaki 13 perlawanan sahaja lagi untuk diharungi setiap pasukan.
Skuad Pep Guardiola itu mencipta 22 kemenangan, dua keputusan seri dan hanya satu kekalahan diterima musim ini sementara itu United mencatatkan empat kekalahan dan lima seri.
”Kami perlu mencuba untuk menamatkan saingan di tempat kedua, kami berada di posisi ini sepanjang musim. Kami berada di tangga teratas di beberapa minggu terawal dan kemudiannya sentiasa di tempat kedua,” jelas Mourinho kepada wartawan.
”Persaingan masih terbuka untuk tempat kedua, ketiga, keempat, kelima dan keenam tetapi secara praktikalnya sudah tertutup untuk tempat pertama.”
Hakikat itu terpaksa diterima Manchester United apabila mereka hanya berkelebihan tiga mata dibelakang Liverpool dan Chelsea serta lima mata mendahului Tottenham Hotspur yang berada di tangga kelima.
Namun, Mourinho melihatkan prestasi yang lebih meningkat ditampilkan anak buahnya sejak musim lalu dan mahu anak buahnya kekal fokus untuk meraih kejayaan.
”Kami melakukan yang lebih baik berbanding musim lalu dan sangat penting buat kami untuk melakukan yang lebih baik berbanding musim lalu,” tambah Mourinho lagi.
”Kami akan mencuba untuk memenangi sesuatu pada musim ini dan jika tidak, kami akan mencuba untuk menjadi lebih kuat pada musim hadapan.”