‘Homeless Selangor’, Apa Cara Yang Sesuai Untuk Akhiri Masalah Stadium Rasmi?

Stadium Shah Alam

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Selangor berdepan dengan masalah untuk mendapatkan stadium rasmi selepas gagal mendapat kebenaran untuk beraksi di Stadium Shah Alam.

Sebagai sebuah pasukan yang penuh sejarah, meraih pelbagai kejuaraan dan tertubuh sejak 81 tahun lalu, adalah sesuatu yang kurang enak didengar apabila masih ‘tiada’ gelanggang rasmi.

Pelbagai faedah yang akan diperolehi oleh persatuan sekiranya memiliki stadium sendiri disamping dapat menjana pendapatan kepada persatuan melalui jualan tiket.

Tidak salah untuk menyewa dan menggunakan stadium milik kerajaan negeri, tetapi setiap persatuan bola sepak masih perlu memikirkan kaedah untuk memiliki stadium sendiri.

Bukan hanya Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), tetapi majoriti persatuan bolasepak di Malaysia sebenarnya masih menghadapi masalah stadium saban tahun.

Jadi, apa yang persatuan bola sepak di negara kita boleh lakukan untuk sekurang-kurangnya tidak mengalami masalah yang sedang dihadapi oleh FAS ketika ini?

Bina stadium vs sewa stadium

Untuk membina stadium, pastinya akan melibatkan kos yang besar dan berkemungkinan besar majoriti persatuan bola sepak di negara kita tidak mampu untuk mengeluarkan belanja tersebut.

Manakan tidak, masih ada persatuan bola sepak yang bergantung dengan dana daripada kerajaan negeri untuk hampir semua kos dan perbelanjaan sepanjang liga berlangsung.

Berdasarkan laporan Berita Harian pada Januari 2016, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) telah mengumumkan kos untuk pembinaan stadium baharu buat Johor Darul Ta’zim (JDT).

Gambaran Stadium baharu kelab JDT di Iskandar Puteri. Foto: FB JST.

Menurut TMJ, kos pembinaan stadium berkapasiti 40,000 hingga 45,000 tersebut dianggarkan sekitar RM 180 juta hingga RM 200 juta di atas tapak seluas 14 hektar.

Disebabkan memerlukan belanja yang besar dan kekangan kewangan, persatuan bola sepak lebih memilih untuk menyewa stadium milik kerajaan negeri sebagai ganti.

Semakan di laman sesawang Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mendapati kadar sewaan terkini Stadium Shah Alam adalah RM 8,000 atau 15% hasil kutipan tiket, mana yang lebih tinggi.

Secara kasarnya, persatuan bolasepak seperti FAS sebagai contoh akan memerlukan dana sebanyak RM 176,000 untuk 22 perlawanan liga, tidak termasuk kejohanan lain.

Jumlah tersebut adalah secara kasar, mungkin MBSA ada kaedah kiraan lain yang akan digunapakai sekiranya persatuan bolasepak yang menyewa Stadium Shah Alam.

Persatuan bolasepak mungkin lebih ‘rela’ untuk membayar kadar sewa per perlawanan berbanding mengeluarkan kos belanja yang besar sekaligus untuk membina stadium.

Untuk kadar sewaan stadium di negeri lain, pembaca mungkin boleh menyemak sendiri kadar yang dikenakan untuk satu-satu perlawanan bolasepak. Kadarnya pasti berbeza.

Kaedah lain?

Masih ingat dengan berita AirAsia Berhad (AirAsia) telah menjalin kerjasama dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk mendapatkan Stadium MBPJ?

AirAsia ingin menjadikan Stadium MBPJ sebagai gelanggang rasmi buat kelab mereka, Kelab Bolasepak Petaling Jaya Rangers (PJ Rangers FC) bermula musim 2018.

AirAsia dan MBPJ telah menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan jumlah tajaan RM4 juta untuk tempoh lima tahun bagi penjenamaan dan menaik taraf stadium MBPJ.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain (dua dari kiri) menerima cenderamata jersi Petaling Jaya Rangers F.C. daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes (dua dari kanan) selepas menandatangani Perjanjian Persefahaman Cadangan Menaik Taraf Stadium Petaling Jaya antara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan AirAsia Bhd (AirAsia) di Ibu Pejabat MBPJ. STD/QAMARUZZAMAN MOHD ZAIN.

Tindakan AirAsia ini dilihat bijak kerana disamping menyewa stadium tersebut untuk kegunaan bola sepak, AirAsia turut dapat menjenamakan dan menaik taraf stadium tersebut.

Menurut CEO AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, AirAsia akan menaik taraf padang, bilik persalinan, membaik pulih tempat duduk pemain dan mengecat semula stadium.

Selain itu, Harian Metro melaporkan AirAsia akan turut menaja program komuniti termasuk liga bola sepak Piala Datuk Bandar, PJ Rangers bawah 20 tahun dan program komuniti MBPJ.

Kaedah sebegini persis kaedah yang digunapakai oleh kelab Liga Premier Inggeris (EPL), Manchester City untuk menggunakan Stadium Bandaraya Manchester (Stadium Etihad).

Manchester City dan Stadium Etihad

Sebelum dikenali dengan nama Stadium Etihad, stadium tersebut adalah Stadium Bandaraya Manchester dan berada di bawah seliaan Majlis Bandaraya Manchester.

Digunakan untuk Sukan Komanwel 2002, stadium tersebut dibiayai oleh para pembayar cukai di bandar metropolitan Manchester dan juga dari hasil pendapatan loteri.

Hasil MoU antara Manchester City dan Majlis Bandaraya Manchester pada 2003, kelab tersebut telah berjaya memajak stadium itu untuk tempoh 250 tahun.

Stadium Bandaraya Manchester sebelum diubahsuai. Foto: Getty Images.

Menurut laporan The Telegraph, Manchester City terpaksa mengeluarkan belanja sebanyak £20 juta untuk mengubahsuai stadium tersebut kepada sebuah stadium bola sepak.

Mengikut MoU yang ditandatangani sebelum ini, Manchester City akan membayar sewa stadium hasil daripada pendapatan hari perlawanan, iaitu dari jualan tiket.

Stadium bernilai £110 juta (pada tahun 2003) itu telah dibiayai sepenuhnya oleh geran loteri bernilai £77 juta dan baki £33 juta lagi oleh pihak majlis.

Tiada bayaran dikenakan sekiranya jumlah kehadiran penyokong kurang daripada 32,000, kapasiti stadium lama Manchester City, iaitu Stadium Maine Road.

Manakala, separuh harga tiket yang dijual di atas tahap tersebut akan dibayar kepada majlis, selepas kos yang berkaitan telah diambil kira.

Wajah terkini Stadium Etihad. Foto: Getty Images.

Dengan rekod purata kehadiran ke Etihad sentiasa melebihi 32,000, iaitu yang ke-4 tertinggi di EPL pada musim 2016-17, pihak majlis mampu mengutip hasil yang agak lumayan.

Menurut The Guardian, dari tahun 2003 sehingga 2011, pihak majlis telah meraih hampir £2 juta secara tahunan hasil daripada jualan tiket di Etihad.

Pada 2011, nama stadium telah diubah dari Stadium Bandaraya Manchester kepada Stadium Etihad atas sebab penajaan dari Etihad Airways untuk tempoh 10 tahun.

Dan untuk itu, Manchester City perlu membayar £2 juta secara tahunan kepada pihak majlis. MoU tersebut juga melibatkan pembinaan pusat latihan bersebelahan dengan stadium.

Penutup

Itu adalah sebahagian perkongsian yang dapat difikirkan oleh penulis mengenai isu ini. Kaedah pembinaan stadium baharu atau cara pajakan boleh digunapakai.

Tuntasnya, mungkin ada pelbagai lagi kaedah dan cara bagi sesebuah persatuan bola sepak di negara kita untuk memiliki stadium sendiri pada masa depan.

Perancangan yang teliti perlu dibuat agar masalah untuk mendapatkan gelanggang rasmi tidak lagi berlaku dan persatuan bola sepak juga dapat menjana pendapatan daripadanya.

Mungkin dengan membina stadium berkapasiti lebih kecil dan sesuai dengan purata jumlah kehadiran penyokong ke stadium adalah jalan terbaik untuk dibuat di Malaysia?

Jika pembaca mengetahui kaedah dan cara lain yang mungkin sesuai untuk persatuan bola sepak di Malaysia dapat gunakan, anda juga boleh berkongsi bersama kami.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN