Kemelut yang sedang melanda pasukan Selangor tampak masih belum berakhir apabila pasukan itu masih tidak dibenarkan mengguna Stadium Shah Alam sebagai venue rasmi bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2018.
Badan Bertindak Penyokong Selangor yang terdiri daripada penyatuan kelab-kelab penyokong pasukan Selangor hari ini menuntut penjelasan daripada kerajaan negeri Selangor mengenai isu larangan menggunakan Stadium keramat pasukan itu.
“Seperti yang kita semua maklum, kini telah masuk tahun kedua pasukan Selangor dinafikan untuk beraksi di Stadium Shah Alam sebagai gelanggang rasmi dalam saingan Liga Super.
“Sedangkan pasukan Selangor telah sekian lama menggunakan Stadium Shah Alam sebagai gelanggang rasmi pasukan untuk mengharungi musim bola sepak liga profesional negara.
“Dengan pelbagai polemik yang melanda Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) serta Kerajaan Negeri Selangor pada ketika ini, maka kami berpendapat adalah tidak wajar pasukan Selangor menjadi mangsa kerakusan dan keegoan mereka yang mempunyai kuasa semata-mata untuk menentukan siapa dipihak yang benar atau sebaliknya,” kata wakil daripada Badan itu.
Difahamkan mereka menuntut Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin oleh Y.A.B Dato’ Seri Mohamed Azmin bin Ali selaku Menteri Besar supaya memberi penjelasan mengapa pasukan Selangor tidak dibenarkan menggunakan Stadium Shah Alam sebagai gelanggang rasmi pasukan untuk musim 2018, sedangkan kebenaran diberikan kepada pasukan PKNS FC serta FELCRA.
“Kami mendesak supaya pengurusan FAS serta Kerajaan Negeri berbincang secara rasmi dan menyelesaikan isu berkaitan pengurusan pasukan bola sepak Selangor terutamanya berkaitan penggunaan Stadium Shah Alam demi kepentingan bersama semua penyokong secara khususnya serta rakyat Selangor secara amnya.
“Perbincangan yang diadakan haruslah dihadiri oleh wakil kami supaya tiada lagi perkara yang tidak jelas dan menjadi rahsia antara FAS serta Kerajaan Negeri.
“Jika pihak Kerajaan Negeri dan FAS enggan mengatur satu mesyuarat dalam masa terdekat untuk menyelesaikan kemelut yang ada, maka kami Badan Bertindak Penyokong Selangor bersedia menjadi badan yang bertanggungjawab untuk merealisasikan mesyuarat tersebut demi kepentingan bersama,” katanya.
Mereka juga akan menyerahkan memorandum dan menuntut kerajaan negeri Selangor memberi jawapan dalam tempoh 48 jam.
“Kami akan menyerahkan satu memorandum untuk mendesak kerajaan negeri Selangor membenarkan Stadium Shah Alam dijadikan gelanggang rasmi pasukan Selangor selewat-lewatnya dalam saingan pusingan kedua Liga Super 2018.
“Kami menuntut FAS dan Kerajaan Negeri memberi jawapan balas terhadap segala tuntutan dan desakan kami dalam tempoh 48 jam selepas memorandum diserahkan,” jelasnya.
Tindakan ini terpaksa diambil oleh mereka kerana atas dasar sayang dan cinta kepada pasukan bola sepak Selangor.
“Tindakan kami pada hari ini bukanlah untuk mencari musuh atau salah sesiapa sama ada FAS mahupun Kerajaan Negeri Selangor. Sebaliknya ia lebih kepada tindakan akhir yang terpaksa diambil atas dasar sayang dan cintakan pasukan bola sepak Selangor.
“Sesungguhnya tindakan ini tidak dipengaruhi oleh mana-mana organisasi atau mereka yang berkepentingan melainkan inisiatif yang diambil oleh kelab-kelab penyokong pasukan Selangor atas rasa tanggungjawab sebagai penyokong yang menyayangi pasukan,” ujarnya.
Badan Bertindak Penyokong Selangor juga mengharapkan agar segala kemelut yang berlaku dapat diselesaikan demi kebaikan bola sepak Selangor.
“Kami berharap kemelut ini dapat diselesaikan segera demi kebaikan bersama serta pasukan Selangor khususnya.
“Mereka yang terdahulu pernah menyatakan bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Inilah yang kami harapkan dapat dilaksanakan oleh FAS dan Kerajaan Negeri Selangor demi kemajuan dan kemakmuran rakyat negeri Selangor khususnya dalam sukan bola sepak,” katanya.
Featured image: Selangor Post