Karier Safawi Dan Akhyar, ‘Scouting’, Serta Prospek Beraksi Di Luar Negara

Jersi pasukan

Baru-baru ini heboh diperkatakan mengenai kelab-kelab luar negara berminat untuk mendapatkan penyerang muda negara yang menyerlah di Kejohanan AFC B-23, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid.

Malah, Semuanya BOLA turut melaporkan mengenai perkara ini menerusi berita ‘2 Kelab Dari Korea Selatan Intai Khidmat Safawi Rashid’ yang diambil daripada Twitter penulis tersohor di rantau Asia, John Duerden.

Walaubagaimanapun, Safawi menerusi laporan New Straits Times, telah menafikan bahawa pihaknya ada menerima tawaran daripada mana-mana kelab Korea Selatan setakat ini.

“Walaupun sekadar khabar angin tapi ia cukup menggembirakan saya. Setakat ini belum ada mana-mana kelab Korea membuat tawaran,” ujar pemain berusia 21 tahun itu.

Selain Safawi, seorang lagi pemain yang menarik minat pasukan luar adalah Akhyar Rashid dengan kelab dari Thailand, Jepun dan Indonesia dikatakan telah mula merisiknya.

Menurut abang kepada Akhyar, Rafdi Rashid yang juga merupakan bekas pemain bolasepak Kedah, ianya masih di peringkat awal dan tiada sebarang tawaran yang telah dibuat.

“Ada ejen menghubungi saya dan berhasrat berunding lebih lanjut mengenai peluang Akhyar menyertai kelab sekitar Asia namun masih di peringkat awal,” ujarnya kepada The New Straits Times.

Oleh yang demikian, diharapkan para penyokong, khasnya peminat kedua-dua pemain tersebut bertenang kerana perkara ini tidak akan direalisasikan dalam masa terdekat ini.

Ini kerana, proses untuk mendapatkan pemain baharu bukanlah mudah. Pastinya pelbagai cara, kaedah, proses yang akan dijalankan oleh kelab-kelab tersebut sebelum mereka mula melakukan bidaan.

Proses pemantauan akan bermula

‘Berminat’ atau ‘mengintai’ tidak membawa maksud kelab tersebut akan terus mengambil langkah drastik dengan menawarkan kontrak kepada pemain-pemain tersebut.

Kelab tersebut akan terlebih dahulu memantau bakat yang berada dalam senarai sasaran mereka. Dan tugas ini akan dijalankan oleh pemantau-pemantau bakat kelab tersebut.

Pengurus Charlton Athletic, Karl Robinson pernah menegaskan dalam siri ‘Art of Scouting’, rancangan terbitan Sky Betpemantau bakat yang baik tidak hanya menonton setakat 10 perlawanan sahaja.

Ia melibatkan proses yang banyak serta rumit dan sebagai pengurus, Robinson menyatakan dirinya hanya terlibat dalam proses terakhir sahaja dalam menentukan pemain yang akan ditandatangani.

Jika proses menawarkan kontrak dan menandatangani pemain mungkin mengambil masa beberapa hari, proses sebelum itu boleh memakan masa berbulan atau mungkin bertahun.

Pengarang buku The Nowhere Men, Michael Calvin.

Pengarang buku ‘The Nowhere Men’, kisah pemantau bakat bolasepak, Michael Calvin, pernah menyatakan yang bekas pengurus Everton, David Moyes akan meminta laporan panjang mengenai seseorang pemain.

Calvin menyatakan Moyes akan meminta daripada 10 hingga 12 pemantau bakat di Everton untuk menyediakan 50 laporan panjang mengenai setiap pemain yang menjadi sasaran kelab.

“Dia memiliki lebih kurang 5000 laporan mengenai 1000 pemain,” ujar Calvin lagi dalam rancangan ‘The Footballers’ Football Show’ yang bersiaran pada tahun 2013.

Data ringkas pemain dari pembekal data

Selain itu, penggunaan data daripada pembekal data seperti Prozone, WyScout, Scout7, DataScout dan juga permainan Football Manager juga membantu dalam mendapatkan maklumat mengenai pemain-pemain.

Terdapat juga kelab yang bergantung sepenuhnya kepada pembekal data untuk mendapatkan maklumat pemain-pemain yang menjadi sasaran. Namun, ia terhad kepada data sahaja.

Data daripada pembekal data tidak selengkap maklumat yang mampu dikumpul oleh pemantau-pemantau bakat. Bekas pengarah bolasepak Tottenham, Damien Comolli pernah dikritik disebabkan kebergantungannya kepada pembekal data.

“Teknologi kini masih belum mampu menjelaskan kualiti pemain seperti Luka Modric. Dia adalah pemain tengah yang tidak menjaringkan banyak gol atau melakukan banyak bentesan. Jadi, apa yang menjadikan dia pemain yang bagus?”

Comolli menjelaskan bahawa pemantau bakat telah memaklumkan yang Modric adalah seorang pemain yang berkemampuan untuk memaksa pemain lawan melakukan hantaran ke belakang kerana ‘positional play’ dia yang baik.

Sementara itu, bekas pemantau bakat Liverpool dan Tottenham, Mel Johnson memaklumkan dalam siri ‘Art of Scouting’, pemantau bakat wajib turun menyaksikan perlawanan dan perlu memiliki naluri yang kuat.

“Anda tidak boleh memantau bakat dengan hanya menonton perlawanan menerusi laptop, ianya mustahil,” ujar Johnson yang kini merupakan pemantau bakat di kelab QPR.

Mel Johnson adalah individu yang bertanggungjawab mengenalpasti bakat Gareth Bale untuk Tottenham ketika pemain itu berusia 17 tahun dan sedang beraksi bersama Southampton.

Kaedah pemantauan Safawi dan Akhyar

Kebanyakan kelab kini telah menggunakan kedua-dua kaedah yang dinyatakan di atas. Untuk kes Safawi dan Akhyar, pastinya pemantau bakat akan digunakan kerana data statistik kedua-dua pemain ini pastinya terhad.

Data statistik pemain untuk Liga Malaysia (Liga M) tidak sebaik dan menyeluruh seperti yang terdapat di liga luar. Oleh yang demikian, kelab yang berminat dengan bakat mereka pasti akan menghantar pemantau bakat.

Masih ingat dengan Kavishkumar? Kavishkumar telah berjaya dalam misinya untuk beraksi di Liga Jepun (J League). Bakatnya telah diperhati dan dipantau sejak 2014 oleh seorang pemantau bakat, Asaba-san.

Foto: Facebook VI Football Club

Dan pada penghujung 2017 yang lalu, Kavishkumar telah mendapat peluang untuk sesi ujian kedua bersama kelab Gamba Osaka. Walaupun tidak berjaya untuk bersama Gamba Osaka, dia berjaya memikat kelab lain, iaitu Tokai FC.

Bercakap kepada The Vocket, Kavishkumar menceritakan bagaimana dia telah gagal untuk memikat 4 kelab termasuk Gamba Osaka atas faktor komunikasi dan juga ranking skuad kebangsaan.

Melihatkan bagaimana pemain berusia 20 tahun itu dipantau dan disaring, kemungkinan besar Safawi dan Akhyar bakal melalui proses yang sama dan pasti akan memakan masa yang lama.

Pemain kebangsaan Thailand, Chanathip Songkrasin juga telah dipantau oleh Consadole Sapporo beberapa tahun sebelum mendapat peluang untuk ke J League secara pinjaman daripada Muangthong United.

Penutup

Oleh yang demikian, tugas Safawi Rasid dan Akhyar Rashid kini adalah perlu terus memikat kelab-kelab yang berminat dengan permainan mereka ketika dalam Kejohanan AFC B-23 di China tempohari.

Selepas ini, aksi mereka pada musim 2018 pasti akan diperhatikan secara dekat oleh pemantau bakat kelab-kelab tersebut. Terpulang kepada Johor Darul Ta’zim dan Kedah samaada mahu memberikan mereka jumlah perlawanan yang sesuai.

Jika mereka kurang mendapat peluang untuk beraksi dalam kesebelasan utama pasukan musim ini, adakah pemantau bakat akan terus memantau perkembangan kedua-dua pemain ini?

Jadi, masa depan dan karier mereka berdua kini terletak di tangan kelab dan pasukan masing-masing. Jika mahu melihat anak muda negara berkelana ke liga luar, mereka perlu diberikan peluang untuk lebih menonjol pada musim ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN