Sebentar tadi telah berlangsung majlis pengumuman kerjasama penyiaran di antara Liga Malasyia (diwakili FMLLP dan FAM) dengan penyedia tv penstriman langsung iflix. Majlis turut dihadiri Presiden FAM, Tunku Ismail, Setiausaha Agung FAM, Dato’ Hamidin Mohd Amin dan CEO FMLLP, Kevin Ramalingam.
Majlis ini menempah sejarah baru dalam Liga Malaysia apabila berjaya mendapatkan hak penyiaran kesemua siaran langsung Liga Super dan juga beberapa perlawanan Liga Perdana yang terpilih.
Kerjasama ini membolehkan Liga Malaysia mendapat RM13 juta semusim. Menjawab soalan wartawan tentang pembahagian wang itu, TMJ dengan spontan menjawab, ianya hak pasukan yang bertanding dan akan diberikan kepada mereka.
Kerjasama yang mengujakan
Dalam majlis yang sama, pihak iflix menyatakan teruja dengan kerjasama ini lebih lebih lagi dapat bekerjasama dengan orang seperti TMJ.
Berdasarkan statistik di tangan mereka, daripada 28 juta rakyat Malaysia, ada 20 juta unit telefon pintar digunakan di Malaysia hari ini. Oleh itu, idea membawa siaran bola sepak ke peranti mudah alih adalah sesuatu yang sangat baik.
Ia akan membolehkan lebih banyak akses kepada konten bola sepak Malaysia. Jadi ia juga menyokong aspirasi TMJ yang mahu kembalikan bola sepak kepada rakyat.
TMJ gembira dapat memeterai perjanjian bersejarah ini dan menyatakan baginda lebih memandang ke hadapan dalam pengurusan. Inovasi dan bergerak maju seiring dengan zaman adalah perkara yang penting di dalam bola sepak, tambah baginda lagi.
Bagi Kevin Ramalingam, beliau tidak sukar untuk menerima kerjasama ini. Tiada badan penyiar yang pernah tawarkan siaran langsung semua liga super dan perlawanan Liga Perdana terpilih. Sebelum ini paling banyak pun 2 atau 3 perlawanan siaran langsung seminggu.
Menurut beliau lagi, hari ini memang ramai rakyat Malaysia yang melayari strim digital untuk menonton bola sepak sama ada secara sah ataupun tidak sah.
Dengan perkembangan dunia telco hari ini yang menawarkan pakej data tanpa had, serta banyak pilihan, pastinya kaedah strim langsung bola sepak tempatan akan mendapat sambutan. Jadi beliau tidak merasakan ianya satu beban yang besar.
Beliau juga menyatakan ini akan memberikan nilai tambah mendadak kepada nilai komersial dalam Liga Malaysia dan setiap pasukan harus menggunakan nilai itu sebaik mungkin.
Ianya akan dapat diakses di mana sahaja di seluruh dunia selepas ini. iflix komited dengan kerjasama ini dan sudah menyediakan dana sekitar RM300 juta untuk 10 tahun untuk penyiaran Liga Malaysia.
Pandangan kami
Satu usaha yang wajar dipuji. Satu perjanjian yang akan mengangkat nilai komersial Liga Malaysia ke fasa baru.
Namun sudah ada keluh kesah daripada peminat yang akan mengorbankan data mereka untuk bola sepak. Ada yang hanya melanggan pakej asas untuk internet.
Jadi, kami berharap ada usaha daripada pihak iflix dan FMLLP-FAM dalam menjalinkan kerjasama khas dengan syarikat telco untuk siaran iflix bagi menonton Liga Malaysia.
Bagi mereka yang ada melanggan internet secara wayar rasanya ini tiada masalah. Termasuk juga mereka yang melanggan data yang berkuota tinggi.
Anda harus memuat naik aplikasi iflix secara percuma di Google Play Store ataupun Apps Store. Caranya sangat mudah. Kemudian pilih langganan anda inginkan.
Apapun tahniah di atas perjanjian blockbuster ini. Sejarah tercipta.