Liverpool Tersingkir Dari Saingan Piala FA Selepas Ditewaskan Oleh West Bromwich Albion

Liverpool

Liverpool terus dirundung malang apabila tersingkir daripada persaingan Piala FA setelah tewas 3-2 ditangan West Bromwich Albion (WBA) di pusingan ke-4 pada perlawanan yang berlangsung di Anfield awal pagi tadi.

Episod kekalahan itu adalah yang kedua berturut-turut buat The Reds setelah mereka tewas pada perlawanan Liga Perdana Inggeris bertemu Swansea City pada 22 Januari lalu.

Lebih menarik dua kekalahan ini dihadapi selepas Liverpool berjaya mencalarkan rekod tanpa kalah Manchester City dalam saingan liga.

Roberto Firmino bagaimanapun meletakkan tuan rumah di hadapan seawal minit ke-5 perlawanan. Jaringan tersebut berpunca daripada kesilapan pertahanan WBA, Jonny Evans yang gagal membaca dengan baik hantaran ke belakang dilakukan rakan sepasukannya.

Mohamed Salah yang meluru pantas untuk merampas bola dari kawalan Evans telah membuat percubaan, namun berjaya ditepis Ben Foster. Firmino yang tidak dikawal pertahanan lawan dengan bergaya melakukan sepakan lambung cantik dari luar kotak penalti bagi menceriakan penyokong tuan rumah.

Jaringan pendahuluan Liverpool itu hanya bertahan dua minit sahaja apabila Jay Rodriguez memadamkan kelebihan tersebut pada minit ke-7 perlawanan menerusi satu rembatan padu yang dilakukan.

Pelawat bagaikan mendapat tonik tambahan apabila berjaya menambah jaringan kedua selang empat minit kemudian juga menerusi pemain berusia 28 tahun itu selepas beliau berjaya menyudahkan percubaan hasil lorongan dari Kieran Gibbs.

Tiga keputusan menerusi video assistant referee (VAR) terpaksa dirujuk pada perlawanan ini. Dua daripadanya melibatkan jaringan dari Craig Dawson terpaksa dibatalkan apabila beliau telah mengasari Firmino dan juga satu keadaan beliau berada dalam kedudukan ofsaid.

Sepakan penalti pula dihadiahkan kepada Liverpool selepas kekasaran terhadap Mohamed Salah dalam kotak penalti WBA.

Bagaimanapun Firmino mensia-siakan peluang keemasan tersebut apabila sepakannya hanya singgah di palang gol.

WBA terus melebarkan penguasaan apabila mencipta jaringan ketiga pada saingan akhir babak pertama selepas hantaran silang yang cuba dilakukan Craig Dawson tertampan ke dalam pintu gol sendiri oleh Joel Matip.

Liverpool berusaha untuk kembali bangkit pada separuh masa kedua namun mereka hanya mampu mencipta satu jaringan menerusi Salah pada minit ke-78.

Jaringan tersebut belum cukup untuk mengelakkan Liverpool daripada menerima kekalahan di tempat sendiri.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN