Skuad ‘The Cops’ mendapat suntikan semangat menjelang sepak mula Liga Malaysia(Liga M) musim 2017/18 selepas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, merangkap Penaung Persatuan Bolasepak PDRM (PDRM FA), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan akan memberi ganjaran sebanyak RM500,000 sekiranya mereka berjaya menjuarai Liga Premier musim ini.
Perkara tersebut diumumkan dalam majlis pelancaran pasukan PDRM FA 2018 di Hotel Marriot, IOI Resort semalam.
Dalam pengumuman tersebut, Ahmad Zaid turut memaklumkan bahawa beliau turut akan memberikan ganjaran insentif buat pengendali The Cops, Zulhamizan Zakaria jika beliau berjaya menghadiahkan gelaran Liga Premier kepada pasukan itu, sekaligus kembali ke saingan Liga Super musim depan.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, ” Ganjaran ini diberikan bagi meningkatkan lagi keazaman para pemain dalam pasukan, serta ketua jurulatih untuk mencapai misi yang ditetapkan”
Tambahnya lagi, Timbalan Ketua Polis Negara ,Tan Sri Noor Rashid Ibrahim selaku Presiden PDRM FA juga akan diarahkan turun padang pada setiap aksi sama ada di tempat sendiri atau gelanggang lawan selain hadir menyaksikan sesi latihan.
Selain misi untuk merangkul kejuaraan Liga Premier, Ahmad Zahid turut meletakkan sasaran buat The Cops untuk layak ke peringkat akhir Piala FA dan Piala Malaysia.
Ia termasuk di dalam (KPI) yang perlu dilunaskan oleh pemain, jurulatih dan pengurusan pasukan PDRM FA pada musim ini.
Dalam masa yang sama Ahmad Zahid juga menegaskan tidak akan melepaskan mana-mana pihak yang terbabit dalam gejala rasuah bolasepak.
Beliau turut meletakan sasaran supaya skuad Sang Saka Biru itu muncul sebagai pasukan yang menggondol anugerah ‘Fair Play’ atas kapasiti imej kepolisan dalam pasukan itu sendiri.
Beliau ketika ditemubual sebagai berkata:
“Sebagai menteri saya akan memastikan tiada seorang pun akan terlepas daripada siasatan dan dakwaan pihak polis jika mereka terbabit dalam gejala rasuah bolasepak”
“Bukan saja pemain dan pegawai pasukan, malah ada juga dikalangan pengadil turut bersekongkol dengan bookie bagi mengatur perlawanan.”
“Ini bukan tuduhan dan pengadil yang melakukan perkara tersebut pasti tidak akan terlepas jika ada bukti,” tegas beliau lagi.
PDRM menamatkan saingan 100Plus Liga Premier musim lalu di kedudukan kelapan.
Untuk rekod, The Cops telah berjaya merangkul kejuaraan Liga Perdana sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2007 dan 2014. Pada musim 2016, PDRM dikecewakan oleh Sarawak 2-1 pada aksi terakhir saingan Liga Super yang berlangsung di Stadium Negeri di Kuching.
Kekalahan tersebut sekali gus menyaksikan PDRM dan Terengganu jatuh divisyen dan terpaksa bersaing di Liga Premier sejak musim 2017.