Pengurus Manchester United, Jose Mourinho memberikan satu lagi pengkhabaran gembira selepas beliau dilaporkan telah menyambung kontraknya bersama skuad The Red Devils.
Kontrak Mourinho yang akan tamat pada tahun hadapan telah diperbaharui hingga 2020, dengan pilihan untuk melanjutkan kontrak tersebut sehingga tahun 2021.
Jose Mourinho, 54 tahun, mula membimbing Manchester United musim lalu sekaligus beliau menjadi pengurus pertama United yang berjaya meraih trofi utama pada musim sulung bersama kelab.
Pengendali berasal dari Setubal, Portugal ini membantu United meraih kejuaraan Piala EFL dan juga Piala Europa di Stockholm pada bulan Mei tahun lalu.
”Saya sangat berbangga dan satu penghormatan dapat menjadi pengurus Manchester United,” ujar Mourinho dalam laman web rasmi kelab. ”Suka untuk saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pemilik kelab dan juga kepada Mr (Ed) Woodward kerana memberikan pengiktirafan terhadap kerja dan dedikasi saya.”
”Saya gembira mereka merasakan dan percaya yang saya adalah pengurus yang tepat untuk kelab yang hebat ini untuk masa hadapan.”
”Kami telah meletakkan sasaran yang sangat tinggi iaitu memenangi tiga piala dalam satu musim. Kami mewujudkan keadaan untuk masa depan yang hebat dan cemerlang buat Manchester United.”
”Terima kasih, sudah tentunya kepada staff dan pemain saya. Tanpa empati dan semangat persahabatan daripada mereka, semua ini tidak akan berlaku. Saya sukakan pemain saya dan senang untuk mengetahui bahawa kami akan bersama-sama sekurang-kurangnya bagi tempoh masa tiga tahun akan datang.”
Mourinho juga tidak melupakan para penyokong Manchester United yang sentiasa menyokong beliau.
”Saya tidak akan berhenti tanpa mengucapkan terima kasih kepada para peminat diatas sokongan yang diberikan dan membuatkan saya seperti berada di tanah air sendiri dengan sangat cepat. Saya ulangi, menjadi pengurus Manchester United adalah penghormatan setiap hati dan saya sangat gembira.”
Mengulas mengenai lanjutan kontrak yang dimeterai bersama Jose Mourinho, Ed Woodward berkata:
”Jose telah berjaya mencipta kejayaan yang hebat sebagai pengurus Manchester United dan saya gembira dia bersetuju untuk melanjutkan komitmennya sekurang-kurangnya hingga tahun 2020. Kerja keras dan tahap profesionalnya sangat luar biasa dan dia telah mendukung keinginan kelab untuk menaikkan pemain muda yang berkualiti tinggi dalam pasukan utama.”