Penyerang Manchester City, Sergio Aguero berjaya mencipta hatrik pada perlawanan Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi ketika bertemu Newcastle United di Stadium Etihad.
Kemenangan 3-1 itu kembali mengubati luka skuad bimbingan Pep Guardiola yang pertama kali tewas dalam saingan liga kepada Liverpool pada minggu lalu.
Manchester City terlepas peluang untuk membuka jaringan pendahuluan pada minit ke-18 apabila Raheem Sterling yang menerima umpanan leret cantik dari David Silva berjaya membolosi gawang Newcastle United, namun beliau berada dalam keadaan ofsaid.
Usaha bertali arus tuan rumah akhirnya membuahkan hasil apabila Sergio Aguero berjaya menanduk hantaran lintang dari Kevin De Bruyne pada minit ke-34 bagi menewaskan Karl Darlow di gawang Newcastle United.
Jaringan pembukaan dari Aguero itu memisahkan kedua-dua pasukan hingga tamat babak pertama.
Manchester City dihadiahkan sepakan penalti di minit ke-62 selepas pemain pertahanan, Javier Manquillo mengasari Raheem Sterling dalam kotak penalti. Pengadil perlawanan, Paul Tierney tidak teragak-agak untuk memberikan sepakan tersebut buat pendahulu liga tersebut.
Aguero yang bertanggungjawab mengambil sepakan itu tidak mensia-siakan peluang untuk menambah jaringan kedua peribadinya pada perlawanan ini untuk kedudukan 2-0.
Pelawat bagaimanapun tidak berputus asa untuk merapatkan kedudukan. Berpunca daripada hantaran jauh Ciaran Clark kepada Jacob Murphy yang berjaya meloloskan diri dari kawalan pertahanan Manchester City, Murphy melakukan satu sepakan ‘lob’ rendah untuk memperdayakan Ederson Moraes pada minit ke-67.
Sergio Aguero melengkapkan hari yang gemilang buat dirinya apabila menyumbat jaringan hatrik setelah menyudahkan hantaran dari Leroy Sane untuk jaringan ketiga buat City pada perlawanan ini. Jaringan itu juga merupakan yang ke-16 buat penyerang berusia 29 tahun itu dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini.
Keputusan perlawanan-perlawanan lain
Chelsea mencatatkan kemenangan pertama liga bagi tahun 2018 setelah membelasah Brighton & Hove Albion 4-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Amex. Eden Hazard mencipta dua jaringan manakala Willian dan Victor Moses masing-masing dengan satu gol.
Arsenal juga mencipta kemenangan bergaya apabila menundukkan satu lagi pasukan dari London, Crystal Palace dengan keputusan 4-1. Nacho Monreal bertindak cemerlang apabila berjaya meledak satu jaringan dan melakukan dua bantuan jaringan sebelum dikeluarkan pada minit ke-43 akibat kecederaan.
Tiga lagi jaringan Arsenal dihasilkan oleh Alex Iwobi, Laurent Koscielny dan Alexandre Lacazette. Gol tunggal Crystal Palace hadir menerusi Luka Milivojevic.
Jaringan tunggal dari Anthony Martial pada minit ke-54 ketika kunjungan ke Burnley sudah cukup buat Manchester United untuk meneruskan tekanan terhadap pendahulu liga.
Sementara itu, Leicester City dan Stoke City masing-masing mencatatkan kemenangan 2-0 selepas mengenepikan cabaran Watford dan Huddersfield Town di tempat sendiri.
Jaringan Leicester City telah dihasilkan oleh Jamie Vardy (penalti) dan Riyad Mahred. Kemenangan Stoke City pula dibantu jaringan gol daripada Joe Allen dan Mame Biram Diouf yang dihasilkan pada separuh masa kedua.
Dua perlawanan lagi berkesudahan dengan keputusan seri 1-1 yang melibatkan West Ham United bertemu AFC Bournemouth dan Everton menentang West Bromwich Albion.