Umum sudah mengetahui bahawa Theo Walcott telah melengkapkan perpindahannya yang bernilai £20 juta untuk berhijrah ke Goodison Park.
Perpindahan yang terpaksa dilakukan bagi kembali membuka peluang buat pemain berusia 28 tahun itu untuk menempatkan diri dalam skuad kebangsaan England bagi menghadapi Piala Dunia 2018 di Russia pada Jun nanti.
Menurut laman web rasmi Everton, Walcott memasang impian untuk membawa kelab Merseyside itu ke tahap baru yang lebih baik.
”Saya datang ke Everton adalah untuk membawa kelab ini ke tahap yang lebih baik.”
”Saya sangat gembira untuk memulakan kisah baru dalam karier saya dan merasakan ini merupakan destinasi yang tepat buat saya untuk melakukannya. Pengurus kelab ini (Sam Allardyce) merupakan seorang yang sangat bercita-cita dan saya rasakan kelab ini pilihan yang tepat buat saya.”
”Everton adalah sebuah kelab dengan mempunyai sejarah yang hebat. Para penyokong mereka juga begitu bersemangat, mereka sangat hebat dan saya seringkali menghadapi kesukaran ketika beraksi disini (sewaktu bersama Arsenal).”
Walcott juga turut menegaskan kehadirannya ke Everton adalah bagi memenangi trofi buat kelab barunya itu.
”Kelab ini telah memenangi beberapa trofi tetapi saya mahu memenanginya sekarang. Pengurus juga mahukannya dan itulah sahaja yang saya perlukan.”
”Saya sudah beberapa kali berbincang bersama dan beliau menyatakan mengenai kemahuan untuk mendapatkan piala. Itu adalah apa yang dimahukannya daripada saya. Saya perlukan dan mahukannya.”
”Saya benar-benar teruja dan saya hanya mahu melakukan apa yang terbaik iaitu dalam permainan saya. Saya kembali gembira.”
Arsenal memberikan penghargaan kepada Walcott dalam satu kenyataan dikeluarkan: ”Kami mengucapkan terima kasih kepada Theo di atas sumbangan yang diberikan kepada kelab dan berharap akan berjaya pada masa hadapan.”
Walcott telah berjaya menghasilkan 108 jaringan dalam 397 penampilan bersama Arsenal selama 12 tahun dan menikmati dua kejuaraan Piala FA.