Setiap anak pastinya mahu menjadi kebangaan keluarga bukan?
Apabila seseorang anak itu berjaya mencapai kejayaan dalam kehidupannya, pastinya akan memberikan kebangaan kepada seluruh keluarganya.
Namun situasi itu tidak berlaku dalam keluarga pengurus baharu Wales – Ryan Giggs.
Giggs yang merupakan pemain legenda Manchester United kini mencipta sejarah sebagai pengurus bagi pasukan kebangsaan Wales walaupun tidak pernah mempunyai pengalaman sebagai pengurus sebelum ini.
Pengalamannya dalam bidang pengurusan bola sepak hanyalah sebagai pengurus sementara Manchester United.
Pelantikan beliau sebagai pengurus Wales sepatutnya menjadi satu berita gembira kepada keluarganya, namun tidak bagi bapanya.
Bapa Giggs iaitu Danny Wilson mendedahkan yang beliau sebenarnya malu akan pelantikan tersebut.
Hal ini kerana ianya bukanlah berpunca dari kurangnya pengalaman Giggs dalam bidang pengurusan bola sepak, tetapi disebabkan urusan peribadi yang melibatkan adik Giggs sendiri.
Terdahulu, dunia bola sepak digemparkan mengenai berita mengenai Giggs yang meniduri isteri adiknya sendiri yang bernama Natasha.
Perbuatan yang dilakukan selama 8 tahun itu mendorong kepada runtuhnya rumah tangga antara Natasha dan juga adik Giggs iaitu Rhodri pada 2011.
“Saya sepatutnya menjadi bapa yang paling bangga di dunia ketika ini. Tapi sebenarnya saya malu akan apa yang beliau telah lakukan kepada keluarga kami.”
“Saya turut malu nak gunakan nama Giggs itu sendiri, saya hanya rujuk beliau (Ryan Giggs) sebagai ‘si bekas pemain bola sepak’ sahaja.”
Wilson juga berkata yang beliau dan keluarga tidak lagi menonton Giggs di kaca televisyen ketika menjadi penganalisis.
“Beliau hanya pentingkan dirinya dan membelakangi perkara-perkara lain. Beliau hanya kisahkan untuk bercakap di depan televisyen dan membuka hotel di Manchester.”
Bapa Giggs juga menyifatkan anaknya itu sebagai ‘tak cukup jantan’ kerana tidak memohon maaf diatas perkara yang beliau lakukan kepada adiknya dulu.
“Sebagai abang yang sulung, beliau sepatutnya menjaga adiknya. Bukannya menikam adiknya dari belakang dengan cara yang paling hina.”
“Beliau tak cukup jantan untuk bertemu adiknya dan memohon maaf diatas perbuatannya dahulu.”
Pelantikan Giggs sebagai pengurus Wales mendapat respon yang kurang baik dari peminat Wales kerana komitmen beliau yang tidak begitu baik ketika menjadi pemain kebangsaan Wales satu masa dahulu.