Pengurus Manchester United, Jose Mourinho difahamkan akan menandatangani kontrak baru untuk kekal di kelab tersebut hingga tahun 2021.
Kontrak pengurus kelahiran Portugal yang menggantikan Louis Van Gaal pada tahun 2016 ini akan tamat pada Jun 2019.
Dipercayai perbincangan mengenai kontrak lanjutan ini telah dibincangkan oleh ejen Mourinho, Jorge Mendes bersama pengurusan tertinggi Manchester United bermula Oktober lalu.
Sepanjang masa itu Jose Mourinho menjelaskan bahawa beliau mahu kekal di Old Trafford dan baru-baru ini pengurus berusia 54 tahun itu menyatakan komitmennya terhadap pasukan adalah ‘menyeluruh’.
Mourinho juga menambah mengenai hasratnya untuk ‘membawa Manchester United menjadi kelab yang asalnya’.
Beliau juga gembira dengan komitmen yang ditunjukkan kelab tersebut apabila menyambut baik hasratnya untuk memiliki pemain yang diidamkan dan berusaha mendapatkannya.
Ketika ini Mourinho berusaha untuk merekrut Alexis Sanchez dari Arsenal untuk memperkuatkan barisan serangan pasukannya dalam usaha mengejar Manchester City yang selesa ditangga teratas Liga Perdana Inggeris.
Sky Sports News turut percaya bahawa Manchester United merupakan pilihan utama untuk membawa pemain antarabangsa Chile itu berhijrah dari Stadium Emirates selepas Manchester City tidak mahu meneruskan urusan pembeliannya.
Sebagai pertukaran, United bersedia untuk melepaskan Henrikh Mkhitaryan kepada Arsenal untuk dijadikan ganti buat Sanchez.
Jose Mourinho telah berjaya menghadiahkan kepada Manchester United kejuaraan Liga Europa, Piala Liga dan Perisai Komuniti pada musim sulungnya membawa kelab yang penuh dengan tradisi itu.