AFC B-23: Malaysia Lakar Sejarah Layak Ke Suku Akhir Selepas Berjaya Tumpaskan Arab Saudi

AFC B-23

Skuad B-23 negara mencipta sejarah pada penampilan sulung dalam Kejuaraan AFC B-23 apabila berjaya melayakkan diri ke saingan suku akhir setelah menumpaskan Arab Saudi 1-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Kunshan, China.

Separuh masa pertama

Arab Saudi terlebih dahulu mencemaskan kem negara seawal minit ke-2 apabila sepakan percuma yang dilakukan oleh Fahad Al Rashidi di sebelah kiri pintu gol Malaysia hanya singgah di palang gol yang dikawal Haziq Nazli.

Skuad kendalian Daniel Teglia itu kelihatan mendominasi aksi di babak awal permainan dengan usaha-usaha yang dilakukan bagi memecah tembok pertahanan negara.

Peluang kedua Arab Saudi menjelma pada minit ke-16 menerusi tandukan dari Abdulelah Al Amri. Namun penjaga gol negara berusia 20 tahun itu lebih tangkas menumbuk keluar percubaan dari pemain pertahanan tersebut.

Dalam keghairahan Arab Saudi berusaha untuk mencari jaringan, Danial Amier Norhisham berjaya menceriakan skuad negara apabila meledakkan jaringan pembukaan perlawanan.

Gol pada minit ke-28 itu berpunca daripada kesilapan Abdulelah Al Amri yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya.

Danial Amier yang tidak dikawal berjaya merembat cantik untuk menewaskan Amin Al Bukhari di gawang Arab Saudi. Jaringan tersebut merupakan satu-satunya percubaan tepat buat skuad negara pada babak pertama.

Tersentak dengan jaringan Danial Amier itu, Arab Saudi kembali memperkemaskan aksi dengan mengatur gerakan ke kubu negara.

Peluang keemasan buat naib juara edisi pertama pada 2013 itu hadir selepas Haziq Nazli melakukan kesilapan apabila gagal menangkap kemas bola hantaran lintang pemain Arab Saudi.

Bagaimanapun percubaan susulan yang dilakukan pemain Arab Saudi berjaya ditanduk keluar oleh Irfan Zakaria ketika Haziq sudah tertewas.

Haziq Nazli berjaya menebus kesilapan yang dilakukannya apabila cemerlang menafikan percubaan yang dilakukan Abdullah Al Joui yang meluru pantas dari sayap kanan bagi meninggalkan pertahanan negara selepas menerima umpanan menarik dari rakan sepasukannya.

Jaringan dari Danial Amier tersebut memisahkan kedua-dua pasukan hingga tamat babak pertama.

Separuh masa kedua

Arab Saudi begitu bernafsu untuk mencari jaringan penyamaan sebaik sahaja bermula babak kedua. Gerakan demi gerakan direncanakan barisan pemain mereka untuk mendapatkan jaringan.

Fahad Al Rashidi mempunyai peluang terbaik dua minit selepas perlawanan bersambung.

Usaha tersebut masih menemui jalan buntu setelah Haziq Nazli sekali lagi menjadi penghalang dengan menepis percubaan daripada pemain berjersi 19 itu.

Aksi di babak kedua boleh disifatkan sebagai aksi ‘sebelah padang’ kerana Arab Saudi jelas mendominasi perlawanan untuk menghasilkan jaringan yang diimpikan.

Pertahanan negara pula wajar untuk  diberikan pujian pada perlawanan ini kerana berjaya mengekang asakan bertali arus yang dilancarkan jentera serangan Arab Saudi.

Mereka telah membentuk satu unit pertahanan yang kental bagi menyerap tekanan yang memuncak sepanjang perlawanan terutamanya pada separuh masa pertama.

Arab Saudi semakin tertekan apabila Hamdan Al Shamrani dilayangkan kad merah pada babak-babak akhir permainan dan keputusan 1-0 kekal hingga tamat permainan.

Jaringan tunggal dari Danial Amier Norhisham dan kekentalan benteng pertahanan sepanjang perlawanan serta semangat juang anak buah Datuk Ong Kim Swee telah menghadiahkan sesuatu makna yang begitu besar dalam sejarah bola sepak negara tatkala skuad ini tidak begitu diberikan harapan untuk layak ke pusingan seterusnya.

Kredit foto: FAM

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN