Pendatang baharu Liga Super dan pasukan dari Liga Premier, Kuala Lumpur dan PDRM berpeluang menguji kekuatan dan memantapkan pasukan mereka apabila bakal menyertai kejohanan bola sepak empat penjuru, Coppa Sleman di Yogyakarta, Indonesia dari 16 hingga 20 Januari ini.
Kejohanan itu turut disertai oleh pasukan tuan rumah, Persatuan Sepak Bola Sleman (PSS) dan Persatuan Sepak Bola Pakindo Mojokerto Putra.
Jurulatih The Cops, Zulhamizan Zakaria bercakap kepada Berita Harian, beliau menyifatkan aksi perlawanan dengan dua pasukan negara jiran itu sudah pasti memberi pengalaman berharga kepada pemainnya untuk menghadapi cabaran sengit Liga Premier musim ini.
“Sudah pasti matlamat kami untuk meraih kejayaan pada kejohanan ini kerana musim ini kami menyasarkan satu piala.
“Oleh itu, saya mengharapkan pemain dapat mempamerkan prestasi lebih baik dan konsisten sebagai motivasi menjelang aksi pembuka tirai Liga Malaysia bulan depan.
“Selepas menjalani latihan lebih sebulan dan beraksi dalam beberapa aksi persahabatan, kejohanan ini adalah masanya untuk menilai komitmen semua pemain,” katanya.
Sementara itu, pasukan Kuala Lumpur menjadikan kejohanan ini sebagai medan untuk membentuk skuad mantap sebelum menghadapi saingan Liga Super 2018.
Meskipun masih terkesan dengan kegagalan mendapatkan khidmat Baihakki Khaizan bagi mengisi kuota pemain import Asean, Ketua jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Joaquim Maciel menegaskan beliau hanya akan membawa masuk pemain baru untuk kuota itu sekiranya tahap permainan pemain itu lebih hebat daripada pemain tempatan.
Pengendali berusia 40 tahun itu kemungkinan tidak akan menandatangani mana-mana pemain import dari rantau ini sekiranya masih belum menemui pemain yang benar-benar bagus.
“Jika dia (pemain import Asia Tenggara) bagus, kita akan ambil. Tapi kalau tahap permainannya setaraf dengan pemain tempatan yang saya ada, saya fikir kami tidak perlukannya.
“Ia kerana Malaysia mempunyai ramai pemain yang bagus dan memiliki kualiti yang setaraf dengan pemain luar,” katanya