“Belum masanya untuk tekan butang panik,” tegas ketua jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee kepada Semuanya BOLA selepas skuadnya tewas 1-4 kepada Iraq dalam aksi pertama Kejohanan AFC B-23, kelmarin.
Itu adalah jawapan Kim Swee apabila diajukan persoalan tentang kemungkinan akan berlaku perubahan besar-besaran di kem skuad negara untuk aksi kedua Kumpulan C, menentang Jordan, Sabtu ini.
Skuad muda negara dilihat bergelut untuk memberikan aksi terbaik, dengan bekas juara edisi 2013, Iraq pula mempamerkan satu aksi dan corak permainan yang sangat baik.
Lebih menarik, ketua jurulatih Iraq, Abdul Ghani Shahad memaklumkan kepada pihak media yang skuadnya hanya menjalani latihan biasa dengan satu sahaja aksi persahabatan sebelum ini.
Ini merupakan kejohanan peringkat Asia pertama buat skuad B-23 dan mungkin banyak perkara yang telah dapat dipelajari oleh Kim Swee dan anak-anak buahnya.
“Keseluruhan banyak lagi yang perlu kita perbaiki dan belajar dari perlawanan dengan Iraq. Selain gol yang dibolosi, kita telah menunjukkan beberapa pergerakan baik.
“Namun, kita perlu konsisten ketika melakukan pergerakan berulang kali sepanjang tempoh perlawanan disamping tidak melakukan kesilapan dalam kawasan bahaya,” tambahnya lagi.
Ketika ditanyakan mengenai prestasi penjaga gawang, Ifwat Akmal dan penyerang gantian, Akhyar Rashid, Kim Swee berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan oleh kedua-duanya.
Walaupun melakukan kesilapan mudah di babak pertama, dalam aksi babak kedua, Ifwat telah melakukan sekurang-kurangnya tiga aksi penting menyelamatkan pintu golnya daripada dibolosi.
“Kita tidak boleh menyalahkan sesiapa apabila dibolosi. Kita perlu melihat secara keseluruhan dan Ifwat bermain dengan baik sepanjang perlawanan.
“Tidak dinafikan kemasukan Akhyar memberi impak yang positif tetapi prestasi keseluruhan secara konsisten lebih penting buat pasukan,” ujarnya lagi kepada Semuanya BOLA.
Malaysia masih memiliki peluang untuk layak selepas satu lagi perlawanan kumpulan antara Arab Saudi dan Jordan berkesudahan dengan keputusan seri 2-2.
Kim Swee sebelum ini pernah menyatakan kita perlu realistik dengan kemampuan pasukan walaupun mensasarkan untuk layak ke pusingan kalah mati.
Selain itu, Semuanya BOLA turut bertanyakan mengenai ketiadaan dua pemain utama iaitu kapten, Adib Zainuddin dan pemain tengah, Syamer Kutty Abba dalam kesebelasan utama.
“Pemilihan pemain mengikut prestasi semasa terutamanya dan mengikut keperluan dari segi taktikal juga,” jelas Kim Swee bagi menafikan kemungkinan isu kecederaan dan kecergasan bagi kedua-dua pemain itu.
Sementara itu, Berita Harian turut melaporkan Malaysia akan kehilangan dua pemain untuk aksi menentang Jordan selepas Adam Nor Azlin dan N. Thanabalan didapati mengalami demam dan kecederaan.