Siapa yang tidak mengenali Xavi Hernandez? Pemain tengah yang pernah mengecapi kegemilangan bersama Barcelona pada satu ketika dahulu. Pemain veteran itu kini sedang menikmati sisa karier bola sepaknya di Qatar.
Beliau yang kini beraksi bersama kelab Al Sadd yakin dapat memujuk pemain Bayern Munich, Franck Ribery untuk mengikut jejak langkahnya di Qatar.
Masa depan Ribery di Allianz Arena masih lagi menjadi tanda tanya berikutan kontrak beliau yang akan tamat pada penghujung musim belum dilanjutkan.
Masalah kecederaan yang dihadapinya musim ini juga turut membataskan aksinya. Ribery hanya bermain 9 perlawanan Bundesliga musim ini.
Walaupun Presiden Bayern Munich, Karl-Heinz Rummenigge menyatakan perbincangan serius akan dilakukan mengenai masa depan Ribery di Munich, Xavi percaya beliau dapat memujuk Ribery untuk ke Al Sadd dengan tawaran yang lumayan.
”Sungguh hebat buat semua orang untuk berada di sini (Qatar). Juga buat Franck Ribery,” kata Xavi dalam satu temuramah dengan Bild.
”Kualiti hidup disini sangat ‘fantastik’, Qatar sebuah negara yang hebat, bagus untuk kehidupan berkeluarga.”
”Anak perempuan saya, Asia, sebagai contoh lahir di Doha. Ia sangat selesa dan semua orang gembira disini.”
”Sudah tentu, tahap bola sepak disini berbeza daripada di Eropah tetapi sangat bagus buat dia (Ribery) untuk berpindah kesini.”
”Saya mahu beraksi bersamanya di Al Sadd. Ianya sangat bagus sekiranya dia dapat bersama kami.”
Pemain antarabangsa Perancis itu menyertai Bayern Munich daripada Marseille pada tahun 2007 dan telah meraih 7 kejuaraan Bundesliga. Beliau juga mengecapi satu kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah dan Piala Kelab Dunia.