Pertahanan berpengalaman Singapura, Baihakki Khaizan dilaporkan oleh The Straits Times ketika ini dalam proses perbincangan bersama kelab yang berpengkalan di Arab Saudi, Jeddah Club.
Sekiranya ia berjaya direalisasikan, Baihakki akan menjadi pemain Singapura pertama yang beraksi di Arab Saudi dan juga Timur Tengah. Dia kini berstatus ejen bebas selepas dilepaskan oleh Warrior FC, pasca S-League 2017.
Pemain yang kini berusia 34 tahun itu dilaporkan masih mempertimbangkan peluang tersebut kerana terdapat juga tawaran daripada beberapa kelab di rantau Asia Tenggara termasuk dari Liga Malaysia.
Baihakki telah menghadiri sesi pemilihan bersama kelab tersebut selepas ejennya, Ashikin Hashim dan rakan ejen di Arab Saudi, menetapkan sesi tersebut ketika Baihakki sedang membuat ibadah umrah bersama keluarganya.
“Dengan situasi saya ketika ini dalam bola sepak, memikirkan faktor umur, ditambah pula dengan perkara negatif di sekeliling saya (digugurkan dari skuad kebangsaan), saya fikir yang karier saya sudah berakhir.
“Namun, ini (tawaran Jeddah Club) umpama cahaya dalam kegelapan, sesuatu yang saya perlu pertimbangkan. Saya ingin memperbaiki segalanya semula,” jelas bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) pada musim 2014 itu.
Jeddah Club sedang bersaing di divisyen 2, Liga Arab Saudi, dan ketika ini berada di kedudukan ke-14 daripada 16 pasukan. Kelab tersebut dikhabarkan telah menawarkan kontrak 4 bulan kepadanya.
Baihakki menyatakan kepada The Straits Times, ketika sedang melalui sesi pemilihan itu, dia terasa seolah-olah dia sedang beraksi dalam perlawanan antarabangsa.
“Setiap hari ketika latihan, saya rasa seperti sedang beraksi dalam perlawanan antarabangsa. Perasaan yang sama seperti ketika saya beraksi menentang Oman, Arab Saudi atau Kuwait.
“Tahap di sini sangat berbeza,” tambah pemain yang pernah dianugerahkan Pertahanan Terbaik, Anugerah Bolasepak Malaysia pada tahun 2013, ketika bersama Lions XII.
“Padang di sini sangat baik, cuaca cukup bagus dan saya berjaya membiasakan diri saya selepas tiga hari,” ujar pemain yang sudah membuat 129 penampilan bersama skuad kebangsaan Singapura itu lagi.
Ejen di Arab Saudi, Faisal Bineissa, yang menguruskan urusan perbincangan kontrak Baihakki dengan Jeddah Club memaklumkan bahawa kelab tersebut sangat tertarik dengan aksi yang dipamerkan Baihakki.
Lebih separuh daripada karier Baihakki dihabiskan di luar Singapura apabila pernah beraksi bersama Persija Jakarta, Persib Bandung, Medan Chiefs dan juga terakhir bersama JDT.