Barcelona perlu membayar sejumlah £145 juta seperti yang ditetapkan oleh Liverpool bagi mendapatkan khidmat pemain antarabangsa Brazil, Phillipe Coutinho yang telah lama menjadi sasaran kelab Catalan itu.
Harga yang ditetapkan oleh Liverpool itu bakal menjadikan nilai tertinggi buat seorang pemain yang tidak mempunyai klausa perpindahan pada kontrak.
Seperti semua sedia maklum pada jendela perpindahan musim panas yang lalu, Paris Saint-Germain telah mengaktifkan klausa perpindahan bernilai £198 juta buat seorang lagi pemain dari Brazil, Neymar.
Selepas spekulasi mengenai Coutinho hangat diperkatakan akibat kesilapan yang dilakukan Nike, Coutinho juga tidak turut serta bersama skuad Liverpool yang berlepas ke Dubai bagi menghadapi kem latihan disana. Keadaan yang begitu menguatkan berita Coutinho akan ke Nou Camp bulan ini.
Sekiranya perpindahan berprofil tinggi ini selesai, pemergian Coutinho dapat memberikan ‘kegembiraan’ buat kewangan Liverpool kerana kelab Merseyside itu hanya membelanjakan £8.5 juta bagi mendapatkan pemain berusia 25 tahun itu dari Inter Milan pada tahun 2013.
Dari perspektif perniagaan ianya merupakan satu langkah yang begitu baik dengan keuntungan yang diperoleh hasil dari penjualan tersebut.
Pemilik Liverpool, Fenway Sports Group mengambil langkah luar biasa mengeluarkan kenyataan dengan menyatakan bahawa Phillipe Coutinho tidak akan dijual dalam jendela perpindahan musim panas lalu.
Walau bagaimanapun, pendirian Liverpool kini kelihatan sudah berubah, dengan Klopp enggan untuk mengulas mengenai pemergian Coutinho ketika ditanya mengenai situasi minggu ini.
Pada jendela musim panas yang lalu, pengurus Liverpool, Jurgen Klopp begitu tegas dalam menolak tawaran demi tawaran yang diterima Coutinho.
Sebelum ini Liverpool telah berbelanja besar bagi mendapatkan pemain pertahanan Belanda, Virgil Van Dijk dari Southampton dengan menjadikan beliau sebagai pemain pertahanan paling mahal dalam sejarah bola sepak dengan nilai £75 juta.