Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino berkata beliau tidak akan sesekali menjual penyerang prolifik, Harry Kane ke Real Madrid. Namun perkara itu akan berubah sekiranya penyerang berusia 24 tahun itu sendiri mahu berpindah ke kelab gergasi Sepanyol tersebut.
Pochettino akan menimbang perkara itu sekiranya Harry Kane membuat keputusan sama seperti Luka Modric dan Gareth Bale yang memilih untuk membawa haluan ke Santiago Bernabeu.
Harry Kane masih segar dengan kejayaan menjadi penjaring terbanyak bagi tahun 2017 dalam saingan Liga Perdana Inggeris bagi meleburkan rekod yang dicipta Alan Shearer.
Ketajaman serangan penyerang antarabangsa England ini telah menarik minat Real Madrid bagi merekrut Harry Kane pada penghujung musim ini.
”Sebagai pengurus Tottenham, saya akan katakan sekiranya Madrid melakukan bidaan untuk mendapatkan Kane, kami tudak akan melepaskannya kerana dia akan kekal disini dan semua perlu memahaminya,” kata Pochettino kepada El Chiringuito.
”Jika pemain itu sendiri yang meminta untuk berpindah, seperti yang berlaku kepada Modric dan Bale. Kita akan melihat apa yang akan terjadi nanti. Hari ini, ianya masih belum berlaku.”
”Saya mengharapkan agar Harry Kane dapat bersama kami untuk satu tempoh masa yang lama dan mencipta banyak jaringan, menang dan menjuarai piala. Itu yang kami mahukan.”
Kane kini merupakan penjaring terbanyak dalam saingan Liga Perdana Inggeris dengan 18 gol yang telah dihasilkan dan Tottenham Hotspur berada ditempat ke-5 liga. Spurs akan bertemu satu lagi pasukan dari London, West Ham United pada pagi esok.
Tottenham dan Real Madrid turut layak ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah yang menyaksikan skuad bimbingan Pochettino itu akan bertemu Juventus manakala Real Madrid berdepan cabaran getir untuk berdepan Paris Saint-Germain.