Jaringan pada masa kecederaan oleh Ragnar Klavan berjaya membantu Liverpool memperoleh kemenangan dramatik 2-1 keatas Burnley dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris yang berlangsung di Turf Moor.
Turun tanpa Mohamed Salah dan Phillipe Coutinho yang mengalami kecederaan, jentera serangan Liverpool kelihatan seperti ketandusan idea bagi merobek gawang Burnley.
Dengan ketiadaan pemain utama tersebut serta Roberto Firmino pula yang hanya diletakkan sebagai pemain simpanan, Jurgen Klopp membariskan Adam Lallana dan Sadio Mane untuk membantu Dominic Solanke di bahagian serangan.
Tidak banyak dapat diperkatakan mengenai aksi anak buah Sean Dyche dan Jurgen Klopp ini apabila hanya dua percubaan tepat berjaya dicipta kedua-dua pasukan pada babak pertama.
Permulaan babak kedua menyaksikan tuan rumah mengawal permainan, namun ianya belum cukup untuk membolosi pintu gol Liverpool.
Jaringan yang ditunggu-tunggu akhirnya menjelma pada minit ke-61 setelah pemain antarabangsa Senegal, Sadio Mane melakukan rembatan cantik yang sekaligus menewaskan Pope.
Tersentak dengan jaringan itu, Burnley memperkemaskan aksi bagi memperoleh jaringan penyamaan.
Beberapa gerakan diusahakan dan peluang terbaik tuan rumah hadir pada minit ke-85 menerusi tandukan yang dilakukan Sam Vokes. Namun Simon Mignolet lebih pantas bagi menafikan usaha tersebut.
Burnley yang tidak berputus asa bagi mendapatkan jaringan akhirnya memberikan lonjakan kegembiraan buat penyokong mereka apabila berjaya menyamakan kedudukan berselang tiga minit selepas percubaan dilakukan Vokes itu.
Gol tersebut berpunca daripada hantaran lintang dilakukan Charlie Taylor singgah di kepala Vokes yang kemudiannya melakukan tandukan ke Johann Berg Gudmundsson.
Gudmundsson yang tidak dikawal berjaya menanduk masuk untuk jaringan penyamaan buat Burnley.
Ketika perlawanan hampir berkesudahan dengan terikat 1-1, pertahanan Liverpool, Ragnar Klavan muncul wira apabila beliau menjaringkan gol kemenangan buat kelab Merseyside itu pada masa kecederaan juga menerusi tandukan.
Kejayaan dramatik ini merupakan kemenangan ke-12 buat Liverpool selepas menghadapi 22 perlawanan sekaligus mencatatkan 44 mata untuk kekal berada ditempat ke-4 liga.