Pengendali Manchester United, Jose Mourinho menjangkakan skuad bimbingannya akan berbelanja besar untuk mendapatkan beberapa pemain baru pada musim panas akan datang.
Tetapi beliau memberikan amaran bahawa ianya masih sukar buat United untuk bersaing dengan kelab yang boleh berbelanja tanpa had.
Jose Mourinho sebelum ini berkata hampir £300 juta sudah dihabiskan sebagai pengurus United masih belum cukup untuk skuad bimbingannya bagi menyaingi pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City.
Beliau yakin Manchester United akan menandatangani dua atau tiga pemain baru dalam usaha untuk merapatkan jurang dengan City, termasuk salah seorang pemain yang berstatus bintang seperti Antoine Griezmann atau Gareth Bale.
Pembelian yang sudah pastinya akan menelan kos yang sangat tinggi.
Namun bagi pengendali berusia 54 tahun dari Portugal itu tidak mahu mengikuti jejak Manchester City atau Paris Saint-Germain yang berbelanja terlalu besar.
Keadaan yang diakui Mourinho membuatkan The Red Devils mengalami kesukaran untuk memenangi trofi yang besar.
Beliau yang bercakap kepada sidang media pada hari Jumaat, berkata: ”Kelab ini telah melaburkan begitu banyak wang. Masalahnya ialah bukan wang yang kami laburkan,masalahnya adalah wang yang dilaburkan oleh pasukan lain dan itu merupakan masalah dimana pasukan lain menjadi skuad yang lebih baik dengan kestabilan yang baik. Dengan beberapa pilihan, mereka terus melabur dan itu merupakan satu-satunya masalah.”
”Saya rasa pada musim hadapan kami akan mendapatkan dua atau tiga orang pemain. Kami juga akan kehilangan dua atau tiga orang pemain.”
”Ia tidak akan berlaku perubahan dan peningkatan yang dramatik. Tetapi dengan langkah demi langkah, dengan beberapa imbangan, kami perlu melakukannya.”
”Dua musim yang lalu kami membayar sejumlah wang yang banyak untuk mendapatkan Paul Pogba dan musim ini mendapatkan Romelu Lukaku pula.”