Arsenal berjaya menewaskan Crystal Palace 3-2 dalam pertembungan derbi London yang menghiburkan terutamanya di babak kedua pada perlawanan yang berlangsung di Selhurst Park.
Arsenal berjaya memperoleh gol pendahuluan pada minit ke-25 selepas berpunca daripada percubaan dilakukan Alexandre Lacazette berjaya ditepis Julian Speroni.
Shkodran Mustafi yang tidak dikawal pertahanan Crystal Palace berjaya menolak mudah untuk jaringan pertama buat Arsenal.
Andros Townsend kemudiannya kembali menyamakan kedudukan empat minit selepas babak kedua bersambung setelah beliau menyempurnakan dengan baik umpanan yang dilakukan Winfried Zaha.
Arsenal kembali memperkemaskan aksi selepas tersentak dengan jaringan tuan rumah itu. Hasilnya Alexis Sanchez meledakkan rembatan padu dalam kotak penalti untuk kembali meletakkan Arsenal dihadapan.
Tidak cukup dengan itu, Alexis Sanchez sekali lagi membolosi gawang Crystal Palace bagi mengukuhkan kedudukan selepas beliau yang berjaya melepasi perangkap ofsaid dengan tenang memperdayakan Speroni di gawang Palace.
Pemain pertahanan, James Tomkins merapatkan kedudukan dengan tandukan yang menewaskan Petr Cech pada minit-minit akhir perlawanan.
Jaringan tersebut masih belum cukup untuk menafikan kemenangan Arsenal sekaligus The Gunners mencatatkan rekod baru Liga Perdana Inggeris dengan 120 kemenangan dalam pertembungan derbi London.
Kemenangan ini lebih signifikan apabila pengurus Arsenal, Arsene Wenger menikmati 810 perlawanan Liga Perdana Inggeris bersama Arsenal bagi menyamai jumlah yang dicapai Sir Alex Ferguson dalam membimbing satu pasukan.
Wenger telah mencatatkan 468 kemenangan daripada 810 perlawanan tersebut. Pencapaian Sir Alex Ferguson lebih baik apabila meraih 528 kemenangan.