Manchester City melebarkan jurang pendahuluan mereka di Premier League awal pagi tadi selepas Raheem Sterling berjaya menjaringkan gol tunggal perlawanan untuk menumbangkan Newcastle United di halaman mereka sendiri.
Ketika Newcastle United menumpukan 80% masa mereka untuk bertahan dengan 11 pemain di belakang bola, Manchester City jelas pasukan yang lebih banyak menguasai bola dan mencipta lebih banyak peluang.
Sergio Aguero dan Kevin de Bruyne paling hampir untuk menjaringkan gol apabila 3 percubaan mereka (2 daripada dilakukan Aguero) hanya sekadar singgah ke tiang pintu gol Newcastle United yang dikawal cemerlang oleh Rob Elliot.
Bagaimanapun percubaan leret Sterling melalui hantaran cantik de Bruyne pada minit ke-31 terbukti sudah cukup untuk memberikan kemenangan ke-18 berturut-turut buat City.
Pertahanan City bagaimanapun dipaksa juga bekerja keras oleh jentera serangan Newcastle United. Nicolas Otamendi terpaksa mengeluarkan bola di atas garisan gol hasil percubaan Rolando Aarons.
5 minit sebelum perlawanan tamat, Christian Atsu berjaya menewaskan Kyle Walker untuk menghantar hantaran lintang yang menemui kepada Dwight Gayle. Bagaimanapun tandukan Gayle itu sekadar melewati tiang gol sebelah kiri penjaga gol City, Ederson.
Dengan kekalahan 0-1 ini, Newcastle United kini hanya 1 mata di atas zon penyingkiran. Misi mereka seterusnya adalah misi wajib menang – menentang pesaing zon penyingkiran, Brighton dan Stoke City pada 30 Disember dan 1 Januari ini.