Jurulatih Kelab Jiangsu Suning, Fabio Capello tidak mahu dikaitkan dengan jawatan sebagai Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Itali kerana sedang fokus dengan kerjanya di Liga Super China ketika ini.
Bekas pengurus England itu sedang mengendali sebuah kelab yang dimiliki oleh Kumpulan Suning milik jutawan Zhang Jindong, yang juga memiliki kawalan ke atas kelab gergasi Serie A, Inter Milan.
“Tidak saya tidak akan melakukannya, saya sudah berhenti,” kata jurulatih berusia 71 tahun itu kepada akhbar La Repubblica semalam sejurus diminta mengulas mengenai kekosongan jawatan di Azzurri.
“Begitupun, saya berada di China…” katanya ketika ditanya sama ada dirinya dihubungi oleh mana-mana pihak berhubung spekulasi terbaru itu.
Capello berkata dia sedih dengan musibah yang menimpa juara empat kali Piala Dunia itu yang gagal melangkah ke Russia tahun depan tapi yakin ia menjadi titik perubahan untuk perubahan bola sepak Itali.
“Sampai masanya memulakan sesuatu yang berbeza, mengubah rentak banyak benda yang sudah lama tidak berlaku perubahan.
“Sesuatu keputusan tidak boleh dilakukan oleh seorang individu, kita perlukan sekumpulan orang yang berkelayakan dan tahu dengan mendalam soal bola sepak dan bekerja sama melakukan perubahan dan bukan atas kepentingan individu,” katanya.
Capello mencipta nama bersama AC Milan pada era 1990 an dengan memenangi empat gelaran Serie A dan Liga Juara Juara.
Dia juga menjuarai dua gelaran La Liga ketika membimbing Real Madrid, manakala dua kejuaraan Serie A ketika bersama Juventus dilucutkan selepas didapati salah terbabit dalam skandal mengatur perlawanan.
Ketika membimbing pasukan kebangsaan England, pasukan itu mara ke peringkat 16 terbaik Piala Dunia 2010 dan kemudian berkhidmat selama tiga tahun mengendali pasukan Russia sebelum dipecat.-AFP