Pengurus Manchester United menegaskan bahawa Zlatan Ibrahimovic sudah bersedia untuk diletakkan sebagai kesebelasan utama bertemu Leicester City pagi esok dan akan berperanan sebagai ‘nombor 10’.
Romelu Lukaku telah beraksi dalam semua perlawanan Liga Perdana Inggeris setakat ini, tetapi beliau bermula di bangku simpanan ketika perlawanan suku akhir Piala Carabao bertemu Bristol City.
Pada perlawanan tersebut, Zlatan Ibrahimovic telah diturunkan pertama kali sebagai pemain kesebelasan utama selepas kembali bersama pasukan dan berjaya menjaringkan jaringan menerusi sepakan percuma.
Penyerang dari Sweden berusia 36 tahun itu telah mengalami kecederaan lutut yang serius pada bulan April lalu tetapi Mourinho percaya pemain berpengalaman itu sudah bersedia untuk sekali lagi diturunkan sebagai pemain utama ketika bertemu Leicester City nanti.
”Ya, dia (Zlatan Ibrahimovic) merupakan pilihan,” kata Mourinho kepada wartawan. ”Dia bermain selama satu jam, sedikit sahaja lagi (bertemu Bristol City), boleh jadi dia sudah bersedia untuk bermula dari awal permainan, 90 minit mungkin terlalu lama, bergantung kepada perlawanan.”
”Saya rasa dia bersedia untuk diturunkan.”
Namun Mourinho tidak menolak kemungkinan kedua-dua pemain bakal menjadi pilihan beliau dan Zlatan akan berperanan sebagai ‘nombor 10’.
Zlatan Ibrahimovic dan Romelu Lukaku sempat beraksi bersama pada perlawanan menentang Bristol City selama 8 minit sebelum Zlatan dikeluarkan pada minit ke-69, digantikan dengan Henrikh Mkhitaryan.
”Dia bermain pada perlawanan terakhir (menentang Bristol City) pada babak kedua, apabila Lukaku bermain ‘nombor 9’ dan Zlatan bermain ‘nombor 10’.”
“Saya tahu itu adalah satu tempoh di mana tenaganya menurun tetapi jelas terdapat ruang di mana ‘nombor 10’ bermain, dan di mana Ibrahimovic, walaupun ketika dia merupakan ‘nombor 9’. Terdapat ruang di mana dia merasa selesa untuk bermain, jadi ya mengapa tidak?”