Bintang Kemboja, Chan Vathanaka berharap kehadirannya dapat membantu skuad Tok Gajah kembali mencapai zaman kegemilangan dan meraih sekurang-kurangnya satu piala musim depan.
Dalam masa sama, dia berharap kehadirannya juga diharap diterima baik oleh peminat setia skuad Tok Gajah yang sememangnya dahagakan kejuaraan selepas terlepas gelaran juara musim ini.
Beliau bercakap kepada Berita Harian, pengalaman yang dimiliki ketika beraksi untuk skuad kebangsaan Kemboja diyakini dapat membantu Pahang tampil dengan aksi lebih cemerlang.
“Saya harap peminat dapat terima dan memberi sokongan bukan saja kepada saya, malah semua pemain untuk meraih kejayaan musim depan.
“Sebagai pemain yang sudah lama bersama skuad Kemboja, pengalaman yang dimiliki akan dipersembahkan dengan prestasi lebih baik.
“Namun, sokongan daripada rakan sepasukan penting. Sebagai pemain baru, saya akan berusaha untuk menyesuaikan diri dengan cepat,” katanya kepada Berita Harian.
Vathanaka juga mengakui dia tidak sabar untuk turun beraksi dalam saingan Liga Super Malaysia sebaik ditawarkan menyarung jersi skuad Pahang.
“Saya percaya dengan komitmen tinggi daripada pengurusan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP), Pahang akan kembali mengucup piala musim depan,” katanya.
Beliau yang turut mendapat tawaran daripada kelab Thailand dan Portugal itu turut mengakui reputasi yang dimiliki oleh skuad Tok Gajah itu menambah keterujaannya.
Vathanaka dijangka akan berganding dengan seorang lagi penyerang import Pahang, Matheus Alves untuk meledak lebih banyak gol musim depan.
Penghijrahannya ke Malaysia didorong oleh faktor untuk mendapatkan peluang bermain berbanding hanya memanaskan bangku simpanan kelab yang disertainya. Vathanaka sebelum ini beraksi secara pinjaman bersama kelab Jepun, Fujieda MYFC.
Di Fujieda MYFC, Vathanaka boleh dikatakan menghabiskan hampir 10 bulan hanya dengan memanaskan bangku simpanan. Dia hanya dapat turun beraksi dalam dua perlawanan sahaja.
Pada usia 23 tahun, Vathanaka telah mendapat hampir 40 penampilan bersama skuad kebangsaan Kemboja, sesuatu yang mungkin tidak akan didapati oleh pemain-pemain muda negara.
“Apabila mendapat tawaran dari Pahang, saya sedar ini adalah peluang keemasan buat saya untuk beraksi dan memperbaiki segala aspek,” ujar pemain yang pernah dinobatkan selaku penjaring terbanyak dua tahun berturut-turut di Liga Kemboja pada 2015 dan 2016.
“Saya sangat teruja. Saya yakin aksi saya di sini akan membantu meningkatkan permainan saya,” ujarnya lagi sambil mengharapkan segalanya akan berjalan lancar buatnya di Pahang.
Sebelum tiba di Pahang, Vathanaka telah beraksi bersama kelab asalnya, Boeung Ket Angkor, sejurus pulang daripada Jepun untuk aksi kejohanan Toyota Mekong Club Championship (TMCC).