Pengurus Chelsea, Antonio Conte percaya bahawa pemain pertahanan, Andreas Christensen mempunyai kemampuan untuk menyamai apa yang telah dikecapi oleh John Terry ketika bersama Chelsea.
Terry telah menghabiskan 19 tahun masa bersama Chelsea selepas keluar daripada akademi kelab tersebut dengan memenangi 5 kejuaraan Liga Perdana Inggeris, 5 trofi Piala FA dan satu kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah.
Christensen yang dipinjamkan ke Borussia Monchengladbach sehingga akhir musim lalu kini menjadi pilihan utama buat Conte dan telah membantu Chelsea 9 perlawanan tidak dibolosi dalam 21 penampilannya.
Conte mengakui beliau tidak menyangka pemain antarabangsa Denmark berusia 21 tahun itu dapat menyesuaikan diri dengan Liga Perdana Inggeris begitu cepat kerana berikutan usianya yang masih muda, tetapi pengendali dari Itali itu menegaskan Andreas Christensen berpotensi untuk berada dalam sejarah kelab.
”Ini merupakan satu perbandingan yang besar. John Terry telah mencipta sejarah kelab dan memenangi banyak kejuaraan,” kata Conte memuji legenda hidup Chelsea itu.
”Saya mengharapkan Christensen turut mempunyai karier yang sama seperti John (Terry). Saya rasa dia mempunyai ciri-ciri yang sesuai untuk beraksi dengan lebih lama bersama kelab ini dan seterusnya menjadi pemain yang sangat penting buat pasukan ini, untuk kelab ini.”
”Christensen merupakan pemain yang menunjukkan peningkatan mendadak sejak awal musim, walaupun pada usianya yang masih muda.”
”Dia merupakan kejutan yang paling baik buat saya, kelab, rakan sepasukan dan buat para penyokong. Setiap kali saya memilih untuk memberikan peluang kepada dia untuk beraksi, dia bermain dengan persembahan yang menakjubkan. Persembahannya meyakinkan saya bahawa Christensen perlu lebih kerap beraksi.”
Pertahanan kental ini dijangka akan direhatkan pada perlawanan suku akhir Piala Carabao bertemu Bournemouth pagi esok. Conte sudah pasti akan menggilirkan para pemain menjelang jadual padat yang akan dihadapi menjelang Hari Natal.