7 Perkara Positif Yang Kami Perhatikan Sepanjang Supermokh Cup 2017

Kejohanan Supermokh Cup 2017 sudah pun melabuhkan tirainya semalam di Stadium Nasional Bukit Jalil. Upacara penyampaian trofi kepada 3 juara untuk kategori bawah-12, bawah-13 dan bawah-14 yang berlangsung dengan gilang-gemilang semalam turut dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Khairy Jamaluddin.

Di sebalik kekalahan adik-adik AMD Malaysia Cougars kita kepada 3 finalis masing-masing semalam, kita boleh berbangga dengan kerja yang dilakukan oleh pihak Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) dalam menaikkan prestij Supermokh Cup di mata dunia.

Dalam edisi Supermokh Cup tahun ini, kami di Semuanya BOLA turut berpeluang membuat liputan terhadap kejohanan peringkat remaja ini. Pelbagai perkara positif kami perhatikan sepanjang kejohanan dan kami ingin kongsikan kepada anda yang mungkin tidak dapat hadir.

1. Peluang bermain di SNBJ

Bukan sebarangan pemain yang dapat peluang bermain di stadium besar seperti Stadium Nasional Bukit Jalil; stadium ke-4 terbesar di dunia. Apatah lagi buat pemain-pemain yang baru berusia 12, 13 dan 14 tahun.

Peluang istimewa sebegini begitu dihargai oleh pasukan-pasukan seperti Football Federation of South Australia (FFSA). Bagi pemain-pemain mereka, peluang ini memberikan satu pengalaman unik dan baru kepada mereka. Apabila Malaysia memberikan peluang ini kepada mereka, sudah pasti nama Malaysia akan terpahat di hati mereka.

2. Sokongan pantas pasukan perubatan

Daripada 24 pasukan yang bertanding dalam Supermokh Cup 2017 kali ini, 12 daripadanya datang dari negara-negara yang ketika ini sedang berada dalam musim sejuk.

Datang bermain di Malaysia pada pukul 11 pagi sehingga 2 petang bukanlah satu kerja mudah buat pemain-pemain muda dari negara-negara yang mempunyai iklim 4 musim. Dengan suhu boleh mencecah hingga 34°C, ditambah pula dengan kelembapan yang tinggi – pemain-pemain boleh terdedah kepada bahaya strok haba.

Inilah yang berlaku kepada seorang pemain muda Hajduk Split ketika kami menyaksikan aksi mereka menentang pasukan akademi dari Qatar, Aspire Academy pada pukul 11 pagi di Padang MSN. Beliau mengadu pening kepala sebelum terpaksa dikeluarkan oleh jurulatihnya.

Kulit putihnya bertukar kemerahan. Nafasnya pendek-pendek. Mujurlah bantuan pantas dari pasukan perubatan yang disediakan NFDP (sambil dibantu oleh doktor pasukan Hajduk Split) dapat membantu pemain tesebut untuk pulih daripada bahaya cuaca panas di Malaysia.

3. LO lakukan kerja dengan bagus

Setiap pasukan dari negara luar di Supermokh Cup diberikan seorang Liaison Officer (LO). Tugas LO ini adalah memastikan komunikasi antara pasukan-pasukan ini dengan pihak penganjur, NFDP, sentiasa berkesan.

LO juga bertanggungjawab memastikan segala keperluan pasukan-pasukan luar ini dibekalkan dengan cukup oleh NFDP.

Malah permintaan pelik-pelik dari pasukan – seperti pasukan Iran, Foolahad Sepahan yang mahukan lagu-lagu Iran dipasang di stadium ketika sesi memanaskan badan – turut berjaya dipenuhi oleh LO yang bertugas.

Buriram United turut melahirkan rasa gembira mereka dengan kerja LO mereka menghadiahkan beliau jersi-jersi rasmi kelab mereka secara percuma. Boleh dikatakan hampir setiap hari kami memerhatikan LO Buriram United menyarung jersi-jersi baru pasukan Thailand tersebut.

4. Live streaming yang banyak

Satu usaha yang amat kami puji daripada NFDP adalah kesungguhan mereka untuk menyediakan siaran langsung percuma di saluran Facebook dan YouTube untuk diikuti oleh peminat-peminat bola sepak tempatan.

Hot FM, Kool FM dan Blublack Arena adalah antara penyiar yang bertanggungjawab menyediakan siaran langsung bagi perlawanan-perlawanan terpilih di Supermokh Cup 2017. Malah siaran langsung ini juga turut disertakan dengan ulasan!

Semuanya BOLA turut berpeluang menyediakan ulasan ini hasil kerjasama dengan Blublack Arena. Peluang ini digunakan sebaiknya oleh kami untuk mengenali bakat-bakat muda Supermohkh Cup 2017. Tidak mustahil satu hari nanti bakat-bakat muda yang kami ulas ini akan menjadi bintang bola sepak pula pada masa akan datang!

5. Piawaian kejohanan yang tinggi

Mungkin ramai peminat bola sepak tempatan tidak tahu betapa tinggi dan ketat piawaian yang ditetapkan oleh pasukan-pasukan Eropah sebelum menyertai satu-satu kejohanan.

Pasukan dari England, Arsenal seperti contohnya, telah menghantar pegawai pasukan mereka ke Malaysia beberapa bulan sebelum Supermokh 2017 bermula untuk memastikan operasi Supermokh Cup 2017 menepati piawaian kualiti yang mereka tetapkan.

Mereka telah meneliti kualiti padang, hotel penginapan, pasukan lawan dan operasi pertandingan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk menyertai Supermokh 2017. Ini bererti dengan penyertaan pasukan-pasukan England seperti Arsenal dan Manchester City (edisi 2016) membuktikan Supermokh Cup telah pun menjadi antara kejohanan peringkat remaja yang berprestij di dunia.

6. Beri peluang kepada jurulatih tempatan memperkembangkan ilmu

Sambil menyelam, minum air. To kill two birds with a stone. Penganjuran Supermokh Cup juga menyediakan peluang kepada NFDP untuk melaksanakan misi serampang dua mata mereka – memberi pendedahan kompetitif kepada pemain-pemain DAN memberi pendidikan kepada jurulatih-jurulatih tempatan kita.

Dalam edisi kali ini, NFDP turut menjemput Francesc Rubio, Pegawai Metodologi dan Analisis PSG dan Robert Fransen, Koordinator Teknikal Bawah-14 dan Bawah-15 AZ Alkmaar untuk berkongsi ilmu pengetahuan mereka kepada jurulatih-jurulatih tempatan kita.

7. Penglibatan pasukan-pasukan yang berlainan budaya bola sepak

Penyertaan pasukan-pasukan dari Asia dan Eropah dalam Supermokh 2017 juga menyediakan pengalaman unik kepada pemain-pemain untuk bermain menentang pasukan-pasukan dari budaya bola sepak berbeza.

Ia juga memberi peluang kepada peminat-peminat bola sepak tempatan kita untuk melihat falsafah bola sepak dari serata dunia.

Daripada Supermokh Cup 2017 inilah kami dapat melihat sesi memanaskan badan pasukan Jepun, Mito Hollyhock yang mirip tentera dan gaya permainan mereka yang menekankan aspek teknikal.

Pasukan Foolahad Sepahan Bawah-14 yang rata-ratanya dibarisi pemain yang tinggi-tinggi pula bermentaliti defensif. Arsenal Bawah-14 yang dipimpin oleh bekas pemain Arsenal, Ryan Garry, bermain seperti pasukan senior mereka – gemar menyimpan bola, lambat melakukan build-up serangan dan menekankan overlapping run di sebelah kiri.

Aspire Academy menunjukkan kepada kita bahawa Qatar serius dalam usaha mereka menjadi kuasa utama bola sepak Timur Tengah di sebalik populasi negara mereka yang kecil. Sporting CP pula kelihatan tiada masalah melahirkan pemain-pemain yang mahir menggelecek seperti produk-produk terkenal mereka, Nani, Cristiano Ronaldo, Ricardo Quaresma dan Simao Sabrosa.

Manakala Buriram United pula mempamerkan gaya permainan acuan DNA Thailand – hantaran pendek bertempo tinggi dalam sistem 4-3-3.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN