Penyerang antarabangsa Belgium yang beraksi bersama Chelsea, Michy Batshuayi dilaporkan bersedia untuk dipinjamkan pada jendela perpindahan Januari ini selepas beliau bergelut untuk merebut tempat di kesebelasan utama Chelsea.
Sekiranya beliau terus kekal di Chelsea dan hanya memanaskan bangku simpanan, Batshuayi pasti berdepan kemungkinan besar untuk tidak disenaraikan oleh pengurus Belgium, Roberto Martinez pada saingan Piala Dunia 2018 di Russia nanti.
Walaupun berjaya menghasilkan beberapa jaringan penting buat The Blues musim ini terutamanya jaringan kemenangan minit akhir pada perlawanan Liga Juara-Juara Eropah menentang Atletico Madrid di Wonda Metropolitano, ianya masih belum cukup untuk memenangi hati Antonio Conte.
Keadaan itu makin terserlah apabila Conte lebih memilih untuk meletakkan Eden Hazard sebagai ‘false nine’ berbanding memasukkan Batshuayi sebagai pemain penyerang ketika Alvaro Morata hanya diletakkan dibangku simpanan.
Untuk rekod, pemain berusia 24 tahun berasal dari Brussels ini berjaya menghasilkan tujuh jaringan daripada 15 penampilan bersama pasukan musim ini dalam semua kejohanan. Beliau telah menghasilkan dua gol dalam Liga Perdana Inggeris, tiga gol ketika Piala Carabao manakala dua jaringan dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.
Menurut laman Football.London, beberapa pasukan sedang mengintai untuk mendapatkan khidmat Batshuayi pada Januari. West Ham United dan Monaco dilaporkan menunjukkan minat terhadap penyerang ini.
Chelsea yang dilaporkan berminat untuk mendapatkan pemain Monaco, Thomas Lemar bersedia untuk menawarkan pinjaman terhadap Batshuayi sebagai sebahagian daripada urusan tersebut.
Namun sekiranya urusan tersebut berjaya dan Batshuayi dipinjamkan ke kelab Perancis itu, ianya seperti masih belum selamat buat beliau kerana Falcao masih merupakan pilihan utama di Stade Louis II.