Joshua Kimmich: Dari Stuttgart Ke Leipzig, Kini Kejar Impian Bersama Bayern & Jerman

Jika sekeping kertas yang tertulis nama Joshua Kimmich, diserahkan kepada bekas pengendali RB Leipzig, Ralf Rangnick (kini Pengarah RB Leipzig), maka Rangnick pasti mempunyai banyak perkara baik untuk diperkatakan mengenai pemain ini.

Apa tidaknya. Rangnick adalah saksi kepada bagaimana nama Kimmich muncul sebagai salah seorang prospek, dan kini menjadi antara bintang Bundesliga dan harapan bola sepak Jerman.

“Saya tidak pernah melihat pemain seperti ini selama ini. Dia tiba untuk menyertai kami. Selepas 2 tahun, kini beliau adalah pemain utama Bayern Munich dan Jerman.”

“Jika beliau terus mengembangkan potensi diri dengan cara sebegini, saya pasti beliau akan menjadi seorang kapten pasukan satu hari nanti. Beliau mempunyai segala ciri-ciri dan kualiti yang diperlukan.”

(Photo by Jean Catuffe/Getty Images)

Bagi seorang pemain berusia 22 tahun yang mempunyai pengalaman kurang dari 2 musim di saingan liga utama, kata-kata sebegini adalah satu pengiktirafan. Dan Joshua Kimmich selayaknya dikagumi oleh Ralf Rangnick dan bola sepak Jerman secara amnya.

Karier awal: Dari Stuttgart ke Leipzig

Joshua Kimmich adalah produk kepada akademi bola sepak milik VfB Stuttgart yang sememangnya terkenal pernah melahirkan deretan bintang Jerman pada hari ini. Antara pemain yang sudah dikenali hasil produk Stuttgart ialah Sami Khedira, Mario Gomez dan juga Timo Werner.

Kimmich yang dilahirkan di Rotweil, sebuah pekan tua yang mempunyai sejarah berusia 600 tahun terletak di barat daya Jerman mulai menyertai VFB Stuttgart sejak berusia 12 tahun, sebelum dilepaskan secara pinjaman apabila menjangkau usia 19.

Joshua Kimmich, Trainer Alexander Zorniger, Yussuf Poulsen/ Sport / Fußball Fussball zweite 2.Bundesliga

Pada musim panas 2013, Kimmich menyertai Leipzig dan tampil sebanyak 26 kali untuk kelab Saxon tersebut. Dalam tempoh itu, Kimmich membantu Leipzig untuk melayakkan ke saingan Bundesliga 2 dalam percubaan pertama.

Sebagaimana pantasnya kebangkitan RB Leipzig di dalam bola sepak Jerman, begitu jugalah pantasnya kebangkitan salah seorang prospek terhebat yang Ralf Ragnick bayangkan sebagai pemain yang memiliki segala kualiti untuk berjaya.

Pada masa yang sama, Pep Guardiola sedang hangat dikaitkan dengan jawatan di bersama Bayern Munich. Tatkala Guardiola menanti untuk diumumkan secara rasmi sebagai pengendali gergasi kelab Bavarian tersebut, beliau sempat untuk menghadiri perlawanan Bundesliga 2, semata-mata untuk menyaksikan dengan mata sendiri kebolehan Kimmich.

(Photo by Alexander Hassenstein/Bongarts/Getty Images)

Sebulan kemudian, Kimmich adalah pemain Bayern Munich. Perpindahan tersebut lantas membuatkan Stuttgart menggigit jari, kerana mempunyai klausa pembelian semula terhadap Kimmich.

Klausa tetap klausa. Akhirnya ia terpulang kepada pilihan pemain itu sendiri.

“Siapa pun yang membenarkan Kimmich pergi sebelum ini harus dihukum. Ia adalah satu kesilapan besar,” ujar ketua jurulatih Stuttgart, Alexander Zorniger mengulas ketibaan Kimmich ke Allianz Arena.

Bayern Munich: Lembaran baru menuju ke puncak

Kerugian bagi Stuttgart, adalah keuntungan bagi Bayern Munich. Walaupun tiba pada Januari 2015, debut pertama Kimmich bersama Bayern ialah pada 9 Ogos dalam perlawanan menentang FC Nöttingen di pusingan pertama DFB-Pokal.

Kimmich tidak memandang ke belakang lagi. Pada musim pertama di Allianz Arena, Kimmich tampil dalam 23 perlawanan Bundesliga, dan mengakhiri musim 2015/16 dengan kejuaraan Bundesliga dan juga DFB-Pokal.

(Photo by Alexander Hassenstein/Bongarts/Getty Images)

“Joshua(Kimmich) adalah seorang pemain yang sentiasa positif, fokus dan serius. Joshua memiliki segalanya yang diperlukan untuk menjadi pemain berkelas dunia,” ujar Guardiola satu ketika selepas menyaksikan aksi mantap Kimmich.

Ketika bersama Stuttgart, Kimmich mulai beraksi di posisi pemain tengah. Beliau kemudiannya diarahkan beraksi di posisi bek kanan dan juga pertahanan tengah pasukan. Sebagai seorang pemain muda, Kimmich tidak pernah merungut akan arahan tersebut.

Malah ia telah memberikan kelebihan kepada beliau kerana mampu beraksi di pelbagai posisi bergantung kepada kehendak taktikal jurulatih.

“Saya memberitahu Joshua bahawa dia adalah pemain pertahanan terbaik di dunia. Tetapi Joshua lebih daripada itu. Beliau mampu beraksi di posisi mana-mana pun yang kita arahkan,” tambah Guardiola.

(Photo credit should read YURI CORTEZ/AFP/Getty Images)

Joshua Kimmich mempunyai pendapat beliau tersendiri mengenai posisi beliau.

“Setiap posisi bermakna membawa peranan yang berbeza. Namun bagi seorang pemain muda seperti saya, ia sangat penting untuk mampu beraksi di beberapa posisi. Ia penting untuk memahami bola sepak dari sudut berbeza dari setiap posisi,” kata Kimmich.

Bagi Kimmich, seorang pemain bola sepak profesional harus memiliki kepelbagaian di dalam kebolehan demi memastikan kelangsungan pembangunan bola sepak dalam diri.

“Saya sentiasa mahu mempertingkatkan keupayaan saya. Saya mahu setiap aspek terus dipertingkatkan sepanjang masa,” tambah Kimmich lagi.

Bek kanan terbaik dunia?

Kebangkitan Joshua Kimmich dalam tempoh masa yang singkat adalah satu perkara yang menakjubkan. Tetapi ini tidak menghairankan, jika mengambil kira usaha dan keinginan untuk berjaya yang dimiliki oleh Kimmich.

Karakter yang dimiliki oleh Kimmich menjadikan dirinya sangat mudah menyesuaikan diri dengan kelab sebesar Bayern Munich.

(Photo by TF-Images/TF-Images via Getty Images)

Jika ada kaedah untuk menggambarkan kemajuan karier Kimmich, maka ia akan berbunyi seperti ini: Dilahirkan di Stuttgart, dibesarkan di Liepzig, memburu impian bersama Bayern Munich!

Selepas Philip Lahm mengumumkan persaraan pada penghujung musim lalu, ramai penganalisa mengandaikan Bayern Munich telah kehilangan seorang pemain berkaliber yang sukar untuk dicari pengganti. Tetapi Kimmich telah membuktikan sebaliknya.

Sumber: WhoScored

Berdasarkan penampilan pada musim ini, Kimmich telah membuktikan dirinya antara pemain bek kanan terbaik dunia, jika pemain-pemain bek pasukan teratas di setiap liga utama diambil kira untuk perbandingan.

Rumusan

Pada usia 22 tahun, Kimmich masih lagi pemain yang dikategorikan sebagai muda. Tetapi apa yang beliau capai pada hari ini membuktikan dirinya setanding dengan pemain muda dunia yang lain seperti Marcus Rashford, Ousmane Dembele, Kylian Mbappe dan ramai lagi.

Atau mungkinkah kita lupa kerana Kimmich beraksi di posisi pertahanan? Joshua Kimmich sudah berjaya membuktikan dirinya mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Philip Lahm.

Apa yang dicapai oleh Joshua Kimmich pada hari ini setelah beraksi di Divisyen 3 Jerman hanya 3 tahun yang lalu, itu satu lagi pencapaian luar biasa buat seorang pemain muda.

Joshua Kimmich untuk Ballon d’Or pada masa hadapan? Siapa tahu?

 

 

 

 

 

 

Leave a Reply