3 Jenis Pemain Bola Sepak Di Bulan Ramadan

Ramadan menyambut kita sekali lagi pada tahun ini. Bulan ke-9 dalam kelendar Islam ini merupakan bulan di mana penganut Islam mula berpuasa dari makan dan minum serta benda-benda lain yang membatalkan puasa, dari terbit fajar hingga terbenam matahari.

Sebagai agama kedua terbesar di dunia, Islam dianuti oleh banyak pemain-pemain bola sepak. Dan di bulan Ramadan mereka tidak terkecuali untuk berpuasa.

Ini menimbulkan dilema bukan kepada pemain bola sahaja, malah kepada semua atlet. Air merupakan komponen penting dalam persembahan mereka. Tetapi berpuasa bererti menahan diri dari minum air sehinggalah waktu berbuka.

muslim1

Berpuasa vs tidak?

Hal ini mendapat reaksi bercampur baur daripada pemain bola sepak beragama Islam. Ada yang melaksanakannnya dengan sempurna. Ada yang menangguhkannya. Ada juga langsung tidak bersetuju untuk berpuasa ketika mereka mempunyai perlawanan.

Bagi pasukan-pasukan bola sepak di negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam, Ramadan bererti akan berlakunya perubahan jadual perlawanan dan latihan.

Pasukan dari negara-negara Asia Barat misalnya mengadakah latihan pada jam 10 malam. Ada pasukan yang mengadakan perlawanan persahabatan di tengah malam. Pasukan Al-Ahly menjalani latihan pra musim di Australia kerana tempoh puasa disana lebih singkat, sekitar 8-9 jam sahaja.

Tetapi bagi pemain-pemain beragama Islam yang bermain di Eropah, timbul isu sama ada mereka perlu berpuasa atau tidak.

Untuk menjawab persoalan isu ini, kami bahagikan pemain-pemain bola sepak beragama Islam kepada 3 bahagian:

  1. pemain yang berpuasa penuh
  2. pemain yang berkompromi
  3. pemain yangtidak berpuasa

1) Pemain yang berpuasa penuh

Frédéric Kanouté

 
Bagi Frédéric Kanouté, ibadah puasa adalah ibadah yang sangat-sangat dijaga oleh beliau. Kanoute yang juga lagenda di Sevilla telah memeluk Islam sejak berusia 20 tahun.

Selama dia bergelar Muslim, Kanouté tidak pernah diajukan dengan soalan mengenai Islam oleh staf kejurulatihan, rakan sepasukan mahupun peminat. Namun bila tiba bulan Ramadan, dia bakal dihujani oleh soalan-soalan berkenaan puasa.

“Ya, mereka ingin tahu. Mereka tanya benarkah saya tidak makan dan pelbagai soalan lain, tapi anda haruslah jawab dengan baik. Ia baik kerana mereka bertanyakan tentang tentang agama (Islam).

Selain puasa, beliau juga banyak ditanya tentang ibadat sembahyang.

“Mereka juga lihat saya solat dalam bilik persalinan. Saya tak kisah tentang apa pandangan mereka kepada saya. Ia semula jadi dan ia adalah cara saya.”

Bagi Kanoute, agama Islam merupakan komponen terbesar dalam kehidupannya. Jadi menunaikan rukun Islam bukanlah satu masalah bagi beliau.

“Islam telah mendidik saya sebegini, jadi ia normal. Ia adalah jalan yang anda ambil untuk buatkan hati anda tenang, untuk memikirkan tentang tempat anda hidup, dan menyayangi jiran-jiran anda.”

Sulley Muntari

Pada tahun 2009, Inter Milan seri 1-1 dengan Bari di Serie A. Perlawanan ini membawa kontroversi kerana sebab yang salah.

Pada perlawanan tersebut, Sulley Ali Muntari yang sedang berpuasa dikeluarkan dari padang selepas hanya 30 minit beraksi. Muntari nyata tidak gembira.

Inter Milan's Muntari gives instructions to his coach Mourinho during their Serie A soccer match against Genoa in Genoa

Pengurus Inter Milan pada masa itu, Jose Mourinho berkata beliau mengeluarkan Muntari kerana beliau beraksi buruk. Mourinho menyalahkan persembahan buruk Muntari kepada puasa. Beliau kemudiannya berkata kedatangan bulan Ramadan ‘tidak kena pada waktunya’ untuk pemain bermain bola sepak.

Komen itu telah mendapat kritikan banyak pihak. Antaranya dari Presiden Kesatuan Komuniti Islam Itali yang berkata:

“Saya rasa Mourinho terlalu becok”.

Namun Jose Mourinho telah menjawab kritikan itu dengan menjelaskan:

“Keputusan Muntari untuk berpuasa seharusnya tidak perlu dikritik kerana ia soal agama dan kepercayaan. Ia bermakna saya menerimanya (hakikat Muntari seorang Muslim yang berpuasa). Saya tak pernah cakap yang Muntari patut membelakangkan agama dan amalannya”.

Amr Zaki

Kisah Amr Zaki ketika bermain di Wigan Athletic lebih menarik.

“Ketika saya berada di England, saya berhajat untuk berpuasa penuh, bersembahyang dan membaca al-Quran di masa lapang.”

Bagi Zaki, tanggungjawabnya sebagai orang Islam membuatkannya lebih kuat di atas padang.

“Saya berpuasa setiap hari dan saya tak fikir ia menjejaskan prestasi saya di padang – malah, saya berasa saya lebih kuat. Saya telah bermain banyak permainan bola sepak ketika saya sedang berpuasa”.

Bagaimanapun, pengurus Wigan ketika itu, Steve Bruce tidak membenarkannya bermain jika Amr Zaki sedang berpuasa. Jadi Zaki melakukan apa yang orang Melayu kata ‘bohong sunat’.

“Steve Bruce memberitahu saya yang dia faham tentang puasa, tapi dia tak boleh benarkan saya bermain ketika saya sedang berpuasa. Dia beritahu saya untuk memilih. Saya memilih untuk berpuasa tanpa pengetahuannya dan bermain bola sepak seperti biasa tanpa sebarang masalah.”

Keputusan Amr Zaki untuk “menipu” pengurusnya dengan bermain dengan perut kosong membuahkan hasil dalam satu perlawanan pada bulan Disember 2008.

“Saya sedang berpuasa ketika kami mengalahkan Newcastle 2-1. Saya menjaringkan satu gol dan semua orang sukakan persembahan saya”.

 
2) Pemain yang berkompromi

Nicolas Anelka

 
Islam adalah agama yang memudahkan. Maka ramai juga pemain yang berkompromi dengan amalan tersebut. Antaranya Nicolas Anelka.

Anelka pada awalnya berpuasa pada siang hari tetapi memutuskan untuk tidak meneruskannya. Anelka dipetik berkata:

“Saya sedar saya akan mudah ditimpa kecederaan jika saya berpuasa. Jadi saya tidak berpuasa secara berterusan”.

Marouane Chamakh

Begitu juga dengan Marouane Chamakh. Menurut Chamakh:

“Saya tiada masalah untuk berpuasa di bulan puasa, ia menjadi normal. Tapi, saya tidak berpuasa pada sehari sebelum dan selepas matchday. Saya akan gantikan semula hari yang saya tak puasa tersebut”.

Nathan Ellington

 
Nathan Ellington yang memeluk Islam lebih 11 tahun lalu berpendapat adalah menjadi tanggungjawab pemain beragama Islam untuk memberitahu staf pasukan dan rakan sepasukan tentang tanggungjawab mereka sebagai orang Islam untuk berpuasa.

Tetapi beliau juga menyokong kompromi Islam dengan tanggungjawab mereka sebagai atlet:

“Bila saya bermain di tempat lawan, saya takkan berpuasa. Tapi saya akan ganti puasa tersebut di hari lain. Dalam latihan, ianya tak menjadi masalah untuk berpuasa kerana saya boleh mendapat hidrasi dan nutrien daripada sahur.”

Bagi Ellington, berpuasa ketika latihan tidak menjadi masalah.

“Satu-satunya dugaan berpuasa adalah ketika pemain lain boleh terus makan selepas latihan, saya hanya perlu bertahan sehingga waktu iftar untuk makan.”

Ellington telah menubuhkan Association of Muslim Footballers (Pertubuhan Pemain Bola Sepak Muslim) untuk memperjelaskan tentang Islam kepada orang bukan Islam. Ini adalah untuk mengelakkan salah faham kerana perbezaan agama, seperti kes Mourinho dengan Sulley Muntari.

Hameur Bouazza

Pemain sayap Millwall, Hameur Bouazza juga mengakui bahawa puasa ketika latihan dan perlawanan boleh menjadi masalah, tapi ia adalah soal kekuatan iman.

“Saya bangga menjadi seorang Muslim. Saya tak katakan ia adalah mudah (untuk bermain bola ketika berpuasa). Ramadan memang sukar dan saya cuba sedaya upaya untuk lakukan yang terbaik.”

Mido

 
Rakan senegara Zaki, Ahmad Hossam “Mido” pula bersetuju dengan pendapat Chamakh. Mengenangkan masanya di England, Mido berkata:

“Di England dulu, saya berpuasa sepanjang Ramadan kecuali hari perlawanan. Tapi sebelum itu, saya telah merujuk kepada penasihat keagamaan terlebih dahulu sama ada saya boleh lakukannya atau tidak. Mereka mempersetujuinya dan mereka kata saya perlu menggantikan hari puasa yang saya tinggalkan di bulan yang lain”.

Beliau menambah:

“Puasa tidaklah menjejaskan prestasi semasa latihan, tapi bermain bola sepak pada tahap yang tinggi membuatkan saya tak boleh berpuasa”

3) Pemain yang tidak berpuasa

Bintang Arsenal, Mesut Ozil mengaku tidak berpuasa ketika terlibat dalam kempen Piala Dunia 2014 yang lepas.

 
“Saya tak boleh melakukannya kerana kerja saya. Saya rasa pasukan Algeria juga tidak akan melakukannya. Kami akan membahayakan kesihatan kami dengan berpuasa. Dan Quran tidak pernah mengatakan kami perlu membahayakan kesihatan kami”. 

Komen Ozil disokong oleh kenyataan Kesatuan Majlis Muslim Jerman yang mendapatkan nasihat Akademi al-Azhar di Kaherah yang mengatakan: pemain bola sepak profesional dibenarkan membuka puasa ketika bertugas. Tetapi mereka perlu menggantinya di hari lain.

Pemain Switzerland yang beragama Islam seperti Xherdan Shaqiri, Granit Xhaka dan Valon Behrami juga mengumumkan mereka tidak berpuasa dalam kempen Piala Dunia 2014.

Behrami memberitahu media Jerman:

“Ia bukan masa yang sesuai (untuk berpuasa). Makan dan minum penting untuk bermain di cuaca di sini (Brazil).”

Pemain Perancis beragama Islam seperti Bacary Sagna juga tidak berpuasa ketika terlibat dalam kempen Piala Dunia 2014. Bagaimanapun Moussa Sissoko lebih teguh apabila menyatakan beliau sentiasa akan berpuasa walaupun ketika perlawanan.

Berbeza pula ceritanya di Tehran. Pada tahun 2010, lagenda Iran dan bekas pemain Bayern Munich, Ali Karimi, dipecat dari kelabnya, Steel Azin kerana tidak berpuasa. Bagaimanapun kontrak beliau ditandatangani semula selepas beliau membayar denda.

Beliau mempertahankan tindakan beliau tidak berpuasa tidak mencemarkan kesucian bulan Ramadan.

Kesimpulan

Memetik kata-kata Shireen Ahmed, seorang blogger terkenal, aktivis sukan wanita dan pemain bola sepak wanita berhijab:

“Saya telah bermain bola sepak untuk lebih tiga dekad dan hampir setiap tahun beberapa perlawanan akan dilangsungkan dalam bulan Ramadan. Saya tidaklah bermain secara profesional tapi saya bermain dengan sangat kerap.”

 
Shireen yang memperjuangkan hak wanita beragama Islam dalam sukan bola sepak sehingga mendapat perhatian FIFA juga menegaskan.

“Saya tahu apa yang diharapkan dari diri saya di atas padang. Walaupun tanpa makanan, hormon adrenalin dalam badan manusia sentiasa membantu saya mengharungi perlawanan.”

Menjadi atlet profesional dan seorang umat Islam yang taat bukanlah satu perkara yang eksklusif. Jika pemain merasakan mereka tidak mampu mengharungi perlawanan dengan berpuasa, Islam memberi kelonggaran untuk berbuka puasa. Dengan syarat, mereka perlu menggantinya di hari lain.

Jika mereka mampu mengharungi perlawanan ketika berpuasa, tiada masalah. Nabi Muhammad SAW dan 313 sahabat-sahabatnya sendiri pernah memenangi perang Badar ketika berpuasa dan terpaksa berhadapan lebih kurang 1000 tentera lawan.

Selamat Menyambut Bulan Ramadhan dari kami di SemuanyaBOLA!

Baca juga: Kenali Pengadil Perempuan Pertama Bertudung Di Itali: Chahida Chekkafi

Sumber: ESPNFC, Daily Mail

Kredit Gambar : Getty Images

Ikuti Kami Di FACEBOOK dan Twitter.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN