Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA) kini beralih kepada tiga lagenda ‘Socceroos’ untuk bantuan khidmat nasihat dan membantu mereka dalam proses memilih ketua jurulatih Australia yang baharu.
Bekas jurulatih, Ange Postecoglou, telah meninggalkan posisi tersebut selepas berjaya membimbing Australia ke kejohanan Piala Dunia 2018 yang akan berlangsung di Rusia, pertengahan tahun depan.
Tiga lagenda yang turut dikenali sebagai ‘generasi emas’ Australia itu adalah Mark Bresciano, Stan Lazaridis dan Mark Schwarzer akan menyertai panel pemilihan yang dijangka akan bermula pada Januari depan.
Turut berada di dalam senarai panel tersebut adalah ketua prestasi FFA, Luke Casserly, penolong jurulatih, Ante Milicic, pengarah teknikal kebangsaan FFA, Eric Abrams dan ketua pegawai perubatan, Dr Mark Jones.
Keputusan rasmi dijangka akan dibuat oleh panel tersebut pada bulan Februari, sebulan menjelang aksi persahabatan yang akan berlangsung pada bulan Mac.
Sementara itu, beberapa nama pengendali telah disebut-sebut akan menjadi ketua jurulatih Australia yang baharu antaranya Marcelo Bielsa, Sven-Goran Eriksson, Jurgen Klinsmann dan juga terbaharu Luiz Felipe Scolari.
Menurut laporan Fox Sports Australia, Jurgen Klinsmann telah meminta bantuan rakan karibnya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai jawatan kosong tersebut.
Klinsmann dilaporkan telah bertanyakan mengenai kualiti A-League, kekuatan terkini skuad kebangsaan Australia serta kebarangkalian Australia menampilkan aksi yang baik di Rusia.
Bagaimanapun, FFA kemungkinan akan berdepan masalah penetapan gaji kerana apa yang ditawarkan FFA dikatakan agak rendah untuk jawatan tersebut.
Menurut laporan Fox Sports Australia, FFA dipercayai hanya mampu menawarkan gaji sekitar AS1.5 juta setahun sedangkan Klinsmann dilaporkan menerima sekitar AS3.3 juta setahun ketika membimbing USA.
Pengendali yang kini berusia 53 tahun itu dilaporkan sangat berminat dengan jawatan tersebut kerana landskap bola sepak di Australia adalah sama seperti di USA.
Sebagai salah satu wakil Asia, Australia telah diundi dalam Kumpulan C bersama tiga pasukan iaitu Perancis, Denmark dan Peru untuk aksi Piala Dunia 2018, tahun depan.