Kronologi Isu Kompleks Sukan Seksyen U15, Selesaikan Demi Bola Sepak Selangor

Jika jumlah trofi dijadikan penilaian kejayaan sesebuah pasukan, maka di negara ini wajar kita mengangkat Selangor sebagai salah sebuah pasukan elit di negara ini.

Selain daripada 33 kali juara Piala Malaysia, pasukan Gergasi Merah ini juga pernah bergelar juara liga sebanyak 7 kali sejak 1980, tidak termasuk 2 kali juara divisyen 2 saingan Liga Malaysia.

Selain daripada itu, Selangor turut pernah meraih kejuaraan Piala FA sebanyak 5 kali, dan 8 kali bergelar pemenang Piala Sumbangsih. Anda sendiri perhitungkan jumlah trofi kejayaan yang pernah dimiliki oleh pasukan ini.

Tatkala bola sepak moden pada hari ini menuntut sesebuah kelab bola sepak memiliki fasiliti serba lengkap untuk kegunaan pasukan, agak menyedihkan untuk melihat Selangor masih bergelut untuk memiliki padang latihan mereka sendiri.

Dan ini belum lagi menyentuh perihal stadium rasmi untuk kegunaan Selangor yang ditidakkan untuk beraksi di Stadium Shah Alam sepanjang musim lalu, setelah sebelum itu timbul ura-ura pergabungan FAS dan PKNS FC.

Cabaran anak buah P.Maniam

Sepanjang musim lalu skuad Liga Super Selangor terpaksa menggunakan padang awam untuk menjalani latihan bagi persiapan perlawanan menghadap Liga Malaysia.

Sebelum ini, anak buah P. Maniam dijanjikan fasiliti latihan tersendiri yang lebih baik, iaitu di sebuah Kompleks Sukan yang terletak di Seksyen U15, Shah Alam.

Kredit: Selangor FA, Facebook.

Pada musim lalu Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), dilaporkan tidak dibenarkan untuk menggunakan fasiliti berkenaan disebabkan oleh status hak milik tapak kompleks berkenaan yang didaftarkan atas nama kerajaan negeri.

Apaakah permasalahan sebenarnya?

Kemelut Kompleks Sukan U15

Laporan daripada akhbar Utusan mengatakan Presiden FAS, Datuk Seri Subahan Kamal pernah me­minta kerjasama daripada kerajaan Selangor supaya memindah hak milik dan mendaftar tanah bangunan Kompleks Sukan FAS di Seksyen U15, Shah Alam di atas nama persatuan berkenaan.

Menurut Subahan, kompleks sukan di kawasan seluas kira-kira 2.23 hektar itu diberikan sebagai pertukaran selepas tanah di belakang bangunan Yayasan FAS digazetkan kepada persatuan dan dibangunkan menjadi sebuah pusat komersial setelah berlakunya perubahan pucuk pimpinan negeri di bawah kepemimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Kredit: Pemilik gambar

Permohonan berkenaan bagaimanapun dinafikan oleh Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari dengan alasan FAS memiliki banyak aset dilaburkan sebelum ini, namun tidak dialirkan kepada pembangunan bola sepak negeri.

Baru-baru ini beberapa penyokong turut bertanya kepada FAS melalui laman media sosial Facebook milik persatuan itu. Oleh itu, FAS tampil memberi penerangan kronologi sebenar akan status kompleks sukan berkenaan.

Penjelasan FAS

Dalam muatnaik tersebut, FAS mengesahkan Kompleks Sukan FAS bukan dibina oleh Kerajaan Negeri Selangor, tetapi ia telah dibina oleh Sebuah syarikat yang menjadi milik Yayasan FAS.

Bagaimanapun yayasan berkenaan tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan FAS, dan tapak tanah kompleks berkenaan adalah berdaftar di bawah pihak berkuasa negeri.

Kredit: Pemilik gambar

FAS turut berkata, bekas Ketua Menteri Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim bersetuju kompleks berkenaan akan menjadi milik FAS selepas persatuan itu tidak mempunyai padang latihan

“Mengikut persetujuan asal di antara Yayasan FAS dan Presiden FAS (Tan Sri Khalid Ibrahim), Tan Sri Khalid atas kapasiti sebagai Menteri Besar telah mengarahkan Mahsuri Kelana membina dan menyiapkan sebuah Kompleks Sukan untuk pemilikan FAS apabila mendapati FAS sudah tidak memiliki padang latihan apabila tanah/padang di belakang pejabat FAS di Kelana Jaya yang digunakan sebagai pusat latihan FAS akan di bangunkan suatu projek pembangunan komersial Joint Venture di antara Yayasan Fas dan Mahsuri Kelana.”

“Dan Yayasan FAS semasa persetujuan tersebut berjanji akan memberi hak milik Kompleks Sukan di U15 Shah Alam kepada FAS.”

Kredit: Pemilik gambar

“Bagaimanapun persetujuan pindah milik secara total kepada FAS tersebut di pinda kepada penggunaan eksklusif Kompleks Sukan di Seksyen U15 itu, khas untuk kegunaan FAS sahaja atas cadangan Tan Sri Khalid dan hakmilik daftar Registered Document of Title atau kelazimannya di panggil “geran” di pindah milik ke bawah nama Setiausaha Kerajaan Negeri untuk kemudahan isu pembayaran segala cukai dan bil-bil utiliti termasuk kos senggaraan Kompleks berkenaan. Dan ini dipersetujui Jawatankuasa Eksekutif FAS.”

Bagaimanapun, pengunaan kompleks berkenaan sebagai tempat latihan rasmi pasukan bola sepak Selangor menjadi masalah apabila tampuk kepimpinan kerajaan negeri Selangor mengalami perubahan.

Lebih merumitkan keadaan ialah apabila kepimpinan baru Kerajaan Negeri Selangor enggan mengiktiraf perjanjian terdahulu yang menjanjikan kompleks berkenaan sebagai penggunaan eksklusif khas untuk FAS sahaja.

Penjelasan daripada FAS itu turut berkata:

“Malahan yang lebih mendukacitakan apabila Kerajaan Negeri bukan setakat tidak memperakui dan mengiktiraf persetujuan terdahulu yang di meterai Tan Sri Khalid dan Yayasan FAS (melalui Mahsuri Kelana) tetapi memutar belitkan fakta apabila mendakwa Kerajaan Negeri yang melaburkan wang membina Kompleks Sukan di Seksyen U15 tersebut.”

Penjelasan Kerajaan Selangor

Dalam satu kenyataan yang dipetik daripada Selangor Kini, YB Amirudin Shari pernah berkata bahawa selepas beberapa tahun Kerajaan Negeri mengambil alih kompleks itu, FAS tidak menunjukkan minat untuk mengambilnya semula.

Amirudin Shari dipetik sebagai berkata:

“Kerajaan Negeri dalam pentadbiran sebelum Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali membantu mendapatkan semula pelaburan yang sepatutnya diperolehi dari Selangor.

“FAS banyak aset tetapi dilaburkan pihak tertentu. Hasil dibuat Kerajaan Negeri, maka lahirlah kompleks itu dan diserahkan kepada kita.Daripada kompleks itu tergadai, lebih baik kita usahakan.”

Pada hari ini, kompleks berkenaan adalah pusat kepada Akademi Merah Kuning yang dibangunkan oleh Kerajaan Selangor sendiri melalui dana sebanyak RM23 juta

Rumusan: Apa penyelesaiannya?

Buat masa ini, perkara ini tampak seperti tiada penyelesaian. Tolak tepi soal politik. Kita semua tahu politik hanya membawa durjana kepada mana-mana lapangan sukan termasuk bola sepak.

Bola sepak merupakan sukan rakyat. Sanggupkah kedua-dua pihak duduk semeja untuk mencari penyelesaian terbaik demi masa depan bola sepak Selangor?

Bukankah bekerjasama itu lebih baik daripada bertindak melakukan kerja secara sendiri? Tepuk dada, tanya selera.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN