Bekas pemain Selangor, S. Veenod akan menyertai pasukan Kelantan bagi menghadapi saingan Liga Super musim depan. Beliau sudah pun menandatangani kontrak dengan disaksikan oleh Presiden KAFA, Bibi Ramjani Illias Khan.
Bibi Ramjani memberitahu, pemilihan S. Veenod kearana versatiliti yang dimiliki oleh bekas pemain Selangor itu. Majlis menandatangani kontrak berlangsung di pejabat Presiden KAFA.
S. Veenod adalah pemain yang beraksi di posisi tengah kotak ke kotak. Namun dalam karier beliau di Selangor musim lalu beliau banyak digunakan sebagai pemain sayap.
Veenod menikmati karier terbaik beliau bersama Selangor pada tahun 2016 dengan menjadi antara pemain paling konsisten dalam skuad Selangor.
Beliau kemudiannya dipilih untuk mewakili Harimau Malaya kerana kecemerlangan beliau itu. Gaya rambut beliau ketika itu menyebabkan peminat mengelarkan beliau sebagai ‘Pogba Malaysia’.
Bercakap kepada berita harian, Veenod optimis The Red Warriors (TRW) dapat merebut sekurang-kurangnya satu trofi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.
Pemain berumur 29 tahun itu berkata, kehadirannya dengan membawa misi dan aura baharu diharap dapat membantu TRW merebut kembali Piala FA, selain menjadi empat pasukan terbaik dalam saingan Liga Super.
“Saya harap peluang bersama TRW musim 2018 akan membantu mengembalikan semula motivasi dan komitmen tinggi terutama kehadiran ramai pemain muda dalam skuad utama.
“Namun saya akui dengan barisan pemain muda yang ada dalam skuad ini, sudah pasti saya perlu bersaing bagi meyakinkan jurulatih,” katanya yang menyarung jersi Selangor selama enam musim sejak 2012.
Pemain kelahiran Nibong Tebal, Pulau Pinang itu mengikat kontrak selama 2 tahun dengan pasukan Kelantan dan berterima kasih di atas kepercayaan diberikan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) terhadap kemampuannya.
“Oleh itu saya harap sokongan padu daripada rakan termasuk pemain berpengalaman, Mohd Badhri Radzi dan Khairul Fahmi Che Mat akan membantu terutama dari segi mempertingkatkan tahap keserasian.
“Pengalaman yang ada bersama Selangor sebelum ini diharap dapat memberi lebih keyakinan kerana TRW diketahui mempunyai rekod cemerlang dalam Liga Malaysia.
“Saya tidak menyesal menolak tawaran tiga pasukan lain untuk menyarung jersi TRW yang juga turut tertarik dan teruja dengan sokongan padu peminat di negeri ini,” katanya.