Baru-baru ini kelab Liga Indonesia telah mengesahkan secara rasmi perlantikan Roberto Carlos Mario Gomez atau lebih sinonim dengan nama Mario Gomez di Malaysia sebagai jurulatih baharu kelab Liga 1 Indonesia, bagi saingan musim hadapan.
Laporan akhbar di negara republik berkenaan menyatakan pengendali kelahiran Argentina tersebut telah menandatangani kontrak selama 2 musim, dengan pilihan tambahan 1 musim kontrak bersama dengan kelab yang sinonim dengan gelaran ‘Maung Bandung’ (The Bandung Tigers) ini.
Bekas pengendali juara Piala AFC 2015, Johor Darul Ta’zim (JDT) ini disasarkan untuk mengembalikan kegemilangan Persib Bandung dalam kancah bola sepak di Indonesia.
Ia bukan tugasan yang mudah. Pada musim lalu, Persib Bandung menduduki tangga ke-13 saingan liga, hanya berkelebihan 6 mata daripada zon penyingkiran.
Selamat datang Mario Gomez
Harapan oleh penyokong Persib Bandung pastinya tinggi menggunung buat Gomez selepas melihat apa yang telah dicapai olehnya di Malaysia.
Apa tidaknya. Selain daripada kejuaraan Piala AFC pada 2015, Mario Gomez turut telah membantu JDT untuk meraih 2 kejuaraan Liga Super Malaysia dan turut pernah meraih anugerah Jurulatih Tahunan Liga Super Malaysia.
Namun demikian, cabaran di Liga 1 Indonesia adalah berbeza dengan apa yang pernah Gomez hadapi di Malaysia. Mampukah Gomez mengangkat kembali nasib Persib Bandung?
Atau kesudahannya akan sama seperti 4 jurulatih asing yang pernah tiba dengan harapan serta keyakinan, akhirnya pulang hampa dengan kegagalan?
Adakah Mario Gomez akan menjadi korban ke-5 jurulatih asing yang pernah bergelar jurulatih bersama juara Liga Super Indonesia musim 2014 ini?
Siapakah 4 jurulatih asing yang gagal mengemudi Persib Bandung sebelum ini? Pembaca Semuanya BOLA dari Indonesia, Ricky Nugraha berkongsi akan kekecewaan silamnya bersama kelab kesayangannya ini.
1. Marek Andrjez Sledzianowski (Poland)
Jurulatih Marek Andrjez Sledzianowski tiba di Persib Bandung pada musim 2003. Ketibaan Sledzianowski tiba bersama reputasi hebat, mengembalikan ingatan penyokong setia Persib Bandung kepada seorang lagi pengendali daripada Poland iaitu Marek Jonata.
Marek Jonata pernah melatih skuad Persib Bandung sekitar 1980 an, menjadikan kelab itu sebagai jaguh bola sepak dengan pengenalan ramai pemain muda pada era tersebut.
Sledzianowski pula adalah bekas pengendali Maccabi Haifa, dan turut pernah bersama kelab Israel itu sehingga ke separuh akhir pertandingan Piala UEFA.
Namun demikian Sledzianowski gagal menunjukkan prestasi yang dikehendaki bersama Persib Bandung, gagal membawa kelab tersebut keluar daripada zon penyingkiran sebelum akhirnya dipecat daripada jawatan yang disandangnya sebelum tamat musim 2003.
2. Daniel Darko Janackovic (Perancis)
Daniel Darko Janackovic adalah pengendali kelahiran Serbia kerakyatan Perancis merupakan seorang pengendali yang kaya dengan pengalaman sebelum tiba di Indonesia bersama Persib Bandung.
Sebelum tiba di Persib Bandung, Janackovic pernah dianugerajan sebagai Jurulatih Terbaik Liga Algeria sekitar musim 2008-2009. Sekali lagi ketibaan jurulatih asing dengan reputasi yang hebat, mulai menanam harapan di kalangan penyokong Persib Bandung.
‘Disangka panas sampai ke petang, kiranya hujan tengah hari’, demikianlah pepatah di Indonesia menjelaskan perjalanan karier Janackovic bersama Persib Bandung.
Jodoh Janackovic bersama Persib Bandung hanya bertahan selama 2 bulan, sebelum berpisah dan diambil alih oleh pengendali tempatan Jaya Hartono.
Hal ini sedemikian selepas beberapa siri prestasi buruk di perlawanan pra musim bersama Persib Bandung mengundang rasa sangsi akan keupayaannya dalam saingan Liga Super Indonesia (ISL) musim 2010-2011.
3. Jovo Cuckovic (Serbia)
Jurulatih berasal daripada Serbia ini dilantik sebagai ketua jurulatih Persib Bandung tidak lama selepas pemecatan Janackovic. Pada mulanya, Cuckovic dibawa masuk sebagai pembantu jurulatih kelab Bandung ini.
Namun demikian Cuckovic mempunyai masalah komunikasi, gagal menguasai Bahasa Indonesia, membuatkan komunikasi bersama pemain menjadi masalah utama.
Masalah komunikasi sering menjadi masalah penyampaian arahan di atas padang terutama ketika perlawanan sehingga menyebabkan pemain keliru akan perancangan taktikal jurulatih tersebut.
Akhirnya Cuckovic dilucutkan jawatan sebagai ketua jurulatih Persib Bandung dan diberikan peranan sebagai penasihat teknikal pasukan.
4. Dejan Antonic (Serbia)
Secara teknikal, Dejan Antonic tidak mengendalikan Persib Bandung untuk menempuhi cabaran Liga Indonesia.
Ini adalah disebabkan pergantungan yang diletakkan oleh badan induk bola sepak dunia, FIFA ke atas Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) beberapa tahun yang lalu.
Oleh itu PSSI mengadakan beberapa kejohanan tidak rasmi membabitkan kelab-kelab bola sepak di seluruh Indonesia, bagi memastikan perjalanan bola sepak di Indonesia tidak terhenti dan mati begitu sahaja.
Antara pertandingan yang disertai oleh Persib Bandung di bawah kendalian Dejan Antonic ialah Indonesian Soccer Championship pada 2015.
Dalam pertandingan tersebut, Persib Bandung telah mencatat 1 kemenangan, dan 4 kali seri. Kekalahan 4-1 ke atas Bhayangkara FC dari Surabaya, lantas menyebabkan Antonic melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih Persib Bandung.
Rumusan
Sebagai peminat dan penyokong tegar Persib Bandung, Ricky Nugraha mengharapkan ketibaan Mario Gomez mampu memberikan impak positif kepada prestasi Persib Bandung di kancah Liga Indonesia pada musim hadapan.
Bukan sahaja saingan domestik yang menjadi impian penyokong-penyokong Persib Bandung seperti Ricky.
Sepertimana Gomez penah berjaya membawa JDT menjuarai Piala AFC, sudah tentu penyokong-penyokong Persib Bandung turut mengimpikan kejayaan di pentas pertandingan peringkat kelab peringkat Asia.
Semoga Persib Bandung tetap maju jaya!
Nota editor: Artikel ini adalah hasil kiriman pembaca kami, Ricky Nugraha dari Indonesia yang merupakan penyokong setia Persib Bandung. Mahu artikel anda dibaca oleh jutaan peminat bola sepak? Emailkan penulisan anda kepada kami ke alamat [email protected]. Artikel haruslah dalam format Microsoft Words dan mempunyai sekurang-kurangnya 350 patah perkataan.