Stadium bola sepak, elemen utama dalam penganjuran perlawanan Piala Dunia. Ada stadium yang dibina khas sempena Piala Dunia. Selain itu, ada juga yang mengalami pengubahsuaian untuk menepati syarat minimum FIFA.
Kali ini, kami membawakan informasi stadium yang bakal menganjurkan perlawanan Piala Dunia 2018. Sebanyak 12 buah stadium telah terpilih untuk menjadi venue perlawanan.
Asalnya, semasa bidaan dibuat, 16 stadium dipilih. Daripada 16 stadium itu, ia berkedudukan di 13 buah bandaraya. Malah kesemua stadium itu berada di benua Eropah. Ya, Rusia antara negara di dunia berkedudukan di dua benua iaitu Asia dan Eropah.
Stadium Kaliningrad
Berkapasiti 35,000 penonton, ia merupakan stadium khas dibina untuk Piala Dunia. Stadium ini dibina di atas sebuah pulau yang dinamakan Oktyabrsky di bandaraya Kaliningrad. Sebelum ini, pulau ini hanyalah pulau terbiar di bandaraya tersebut.
Dek pemilihan Kaliningrad sebagai bandaraya penganjur, mereka memilih pulau ini untuk tapak stadium. Selepas Piala Dunia 2018 berakhir, kelab Baltika Kaliningrad akan menjadikan stadium ini sebagai laman mereka sendiri .
Untuk Piala Dunia 2018, stadium ini hanya menganjurkan perlawanan peringkat kumpulan sahaja.
Volgograd Arena
Stadium ini juga akan menganjurkan hanya perlawanan peringkat kumpulan sahaja. Selepas Piala Dunia berakhir, kelab Rotor Volgograd akan menggunakan stadium ini untuk perlawanan peringkat domestik.
Kapasiti stadium ini ialah 45,000 penonton sahaja. Stadium ini berkedudukan di kota raya Volgograd. Stadium ini bersebelahan dengan Sungai Volga. Dahulunya, ia tapak Central Stadium Volgograd sebelum diruntuhkan untuk pembinaan stadium baru ini.
Ekaterinburg Stadium
Nama stadium ini menjadi popular apabila mempunyai reka bentuk tempat duduk yang unik. Ia dikatakan khas untuk penyokong yang terlalu ramai. Masakan tidak, hanya untuk 35,000 penyokong sahaja.
Stadium ini mempunyai reka bentuk luaran tradisional Rusia. Dahulunya, stadium ini banyak menempatkan acara sukan era Soviet. Stadium yang dibina pada 1957, cuma akan mengalami pengubahsuaian untuk Piala Dunia 2018.
Stadium ini akan menganjurkan perlawanan peringkat kumpulan untuk Piala Dunia kali ini.
Fisht Stadium
Stadium ini berada di bandar raya Sochi. Stadium ini digunakan semasa upacara perasmian dan penutupan Sukan Olimpik musim sejuk pada 2014. Selain itu, stadium ini turut digunapakai semasa Piala Konferendasi 2017.
Kapasiti stadium ini ialah 40,000 sahaja. Selain perlawanan peringkat kumpulan, satu perlawanan pusingan kedua dan satu perlawanan suku akhir turut dianjurkan di sini.
Kazan Arena
Rubin Kazan telah menjadikan stadium ini sebagai rumah mereka sejak Ogos 2013. Stadium ini pernah digunakan semasa Piala Konfederasi yang lalu. Stadium ini juga menjadi venue perasmian pembukaan dan penutupan Universiade pada tahun 2013.
Stadium ini mempunyai 45,000 tempat duduk. Tidak jauh dari stadium ini ialah Kompleks Akuatik Kazan. Arkitek stadium inilah dahulunya arkitek bagi Emirates Stadium di London, Britain.
Stadium ini juga akan menjadi hos bagi perlawanan pusingan kedua dan suku akhir. Di samping beberapa perlawanan peringkat kumpulan.
Nizhny Novgorod Stadium
Panjang benar namanya, mujurlah ia senang disebut! Stadium ini dibina khas untuk Piala Dunia dengan kapasiti 45,000 sahaja. Stadium ini turut menganjurkan perlawanan peringkat kumpulan. Begitu juga untuk pusingan kedua dan suku akhir.
Stadium ini berdekatan dengan pertemuan dua batang sungai iaitu Volga dan Oka. Selepas ini, Olympiets Nizhny Novgorod akan beraksi pula di stadium ini. Tapi kelab ini beraksi di divisyen bawahan Rusia!
Luzhniki Stadium
Perlawanan pembukaaan Piala Dunia 2018 bakal dilangsungkan di stadium ini. Begitu juga dengan perlawanan akhir nanti. Stadium ini diubahsuai khas untuk Piala Dunia.
Sebelum ini, stadium ini pernah menjadi hos untuk final UEFA Champions League 2008. Selain itu, ia pernah digunakan untuk perasmian pembukaaan Sukan Olimpik 1980.
80,000 ribu orang penonton boleh dimuatkan untuk stadium ini.
Spartak Stadium
Selain Luzhniki, Spartak Stadium merupakan stadium yang berada dalam lingkungan bandar raya Moscow. Stadium ini sebenarnya dikenali sebagai Otkyrtiye Arena tetapi diubah namanya khas untuk kejohanan ini.
Berkapasiti 45, 000 orang dan telah digunakan oleh Spartak Moscow sejak 2014. Stadium ini dibina pada 2010. Stadium ini juga salah satu venue Piala Konfederasi yang lalu.
Samara Arena
Rekaan ini mengambil inspirasi dari industri aeroangkasa di Samara. Sebenarnya ia juga dipanggil sebagai Cosmos Arena. Stadium ini boleh memuatkan kira-kira 45,000 penonton pada satu masa.
Stadium ini akan digunakan oleh Kyrlia Sovetov Samara selepas Piala Dunia berakhir. Stadium ini akan melangsungkan perlawanan kumpulan, pusingan kedua dan suku akhir.
Rostov Arena
Juga berkapasiti 45,000 orang penonton. Stadium ini bakal menganjurkan perlawanan peringkat kumpulan dan suku akhir. Stadium ini telah dibina pada 2014 dan sempat disiapkan sebelum kejohanan bermula
Selepas Piala Dunia berakhir, kapasiti akan diturunkan kepada 42,000 sahaja. Kemudiannya, ia akan digunakan sebagai gelanggang laman sendiri bagi kelab FC Rostov.
Saint Petersburg Stadium
Stadium ini dibina di tepian Teluk Finland. Stadium ini juga dikenali sebagai Krestovsky Stadium atau Zenit Arena. Ia mengambil masa 10 tahun untuk disiapkan sejak 2007.
Selain ia boleh menjadi hos perlawanan domestik melibatkan Zenit St. Petersburg, stadium ini boleh dijadikan sebagai venue acara konsert.
Stadium ini akan menganjurkan perlawanan tempat ketiga selain perlawanan separuh akhir dan suku akhir.
Mordovia Arena
Stadium ini terletak di kota raya Saransk. Ia berkapasiti seramai 44,000 penonton. Ia memulakan pembinaan pada 2010 dan hanya baru sahaja disiapkan menjelang Piala Dunia 2018.
Selepas ini, FC Mordovia akan menjadikan stadium ini sebagai laman sendiri. Stadium ini akan hanya menjadi hos bagi perlawanan peringkat kumpulan.
Penutup
Pada pandangan anda, stadium manakah yang tercantik? Cuma apa kami harapkan stadium ini tidak menjadi projek gajah putih selepas ini. Walau apa pun, kita pasti sudah tidak sabar menantikan aksi Piala Dunia pada tahun hadapan.