Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Lelaki Dari Thailand Ini Kongsikan Mengapa Beliau Begitu Obses Terhadap JDT

Johor Darul Takzim (JDT) seperti semua sedia maklum adalah pasukan yang kini semakin meniti kegemilangan di Malaysia dengan mengecapi pelbagai kejayaan sejak penjenamaan semula pada tahun 2013.

Semangat para peminat JDT juga jelas begitu membuak-buak untuk melihat kejayaan demi kejayaan dicipta skuad Harimau Selatan itu.

Namun segala apa yang telah dikecapi JDT ketika ini rupanya bukan sahaja memenangi hati penyokong JDT di Malaysia dan Johor khasnya, namun turut dirasai seorang rakyat Thailand ini.

Beliau yang dimaksudkan ialah Sorawit Wichitchote. Seorang pelajar tahun kedua di Universiti Bangkok.

Pada pertemuan pertama bersama penulis ketika di Bangkok Futsal Arena (Kejuaraan Futsal B-20 AFC)  pada bulan Mei lalu, beliau begitu asyik menceritakan tentang pasukan JDT yang begitu dikaguminya.

Pertemuan kami tidak hanya terhenti disitu apabila kami terjumpa sekali lagi ketika di Buriram sewaktu penulis menyaksikan perlawanan Malaysia bertemu DPR Korea pada bulan lalu.

Tertarik dengan sokongan penyokong JDT terhadap pasukan

Menurut  Sorawit, beliau begitu teruja melihat sokongan dan sorakan yang diberikan oleh Boys Of Straits (BOS) dalam memberikan sokongan buat para pemain JDT ketika perlawanan.

”Saya sangat sukakan JDT kerana penyokong mereka begitu hebat dalam memberikan sokongan buat pasukan terutamanya BOS. Ianya semangat yang sedikit berbeza berbanding di Thailand.”

”Semuanya bermula apabila saya menonton koleksi video BOS di laman youtube yang memberikan sorakan begitu bersemangat buat pasukan. Itulah permulaan saya mula menggemari dan ‘menggilai’ JDT dan bola sepak Malaysia.”

Dengan keterujaan tersebut, beliau memilih untuk turut hadir ke stadium bagi menyaksikan perlawanan yang melibatkan JDT di Thailand.

Antara perlawanan yang disaksikan oleh Sorawit adalah kelayakan AFC Champions League 2015, 2016 dan 2017 ketika JDT bertemu Bangkok Glass, Muangthong United dan Bangkok United.

Sorawit (merah) bersama-sama penyokong JDT ketika perlawanan di Stadium Nasional Laos KM 16.

Dua perlawanan persahabatan JDT di Thailand pada awal musim ini juga menjadi pilihan Sorawit untuk menyaksikan pasukan kesayangannya ini dihadapan mata beliau sendiri ketika bertemu Air Force Central FC dan Buriram United.

Tidak cukup dengan itu, beliau turut ke Laos bagi memberikan sokongan buat JDT dalam Piala AFC 2016 sewaktu perlawanan peringkat kumpulan berdepan Lao Toyota FC.

JDT dibarisi para pemain yang bagus dan pemilik yang mempunyai ‘passion’ terhadap bola sepak

Sorawit turut menambah bahawa faktor JDT yang mempunyai barisan pemain yang baik dan juga peminat yang cintakan bola sepak juga membuatkannya begitu meminati kelab tersebut.

”Ya, sudah tentu saya melihat kualiti para pemain JDT adalah sangat baik terutamanya pemain kegemaran saya iaitu Safiq Rahim. Pemilik kelab ini juga bersungguh-sungguh dalam membawa pasukan ini ke tahap yang lebih tinggi.”

”Saya akan sentiasa mencari informasi mengenai bola sepak Malaysia dan JDT di laman web dan juga media sosial untuk mengikuti perkembangan bola sepak disana.”

Budaya menyokong di Malaysia lebih menjadi keterujaannya

”Budaya menyokong di Thailand lebih banyak dikawal oleh undang-undang yang ketat. Saya lebih sukakan cara menyokong di Malaysia kerana lebih bersifat sokongan yang begitu ‘agresif’ dari segi sorakan.”

”Saya jelas tidak mempunyai masalah dengan budaya menyokong di Malaysia malahan saya amat menyukainya,” jelas beliau lagi.

Beliau yang masih belum pernah ke Malaysia mengimpikan untuk menikmati suasana bola sepak di Malaysia pada satu hari nanti.

”Saya pasti akan ke Malaysia untuk sama-sama memberikan sokongan buat JDT di Stadium Larkin. Itu pasti.”

 

 

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!