Baru-baru ini laman Facebook Johor Souther Tigers (JST) memuat naik gambaran ilustrasi skuad JDT untuk musim 2018 yang mana menunjukkan pemain pertahanan skuad Malaysia Bawah 23 Tahun, Adam Nor Azlin diletakkan sebagai pemain simpanan dan perlu bersaing dengan Mohd Fadhli Shas dan Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak di posisi pertahanan.
“Saya tak kecil hati”, kata Adam kepada Sinar Harian.
Menurut Adam, apa yang ditunjukkan itu tidak semestinya menggambarkan apa yang berlaku dan enggan terus membuat sebarang andaian.
“Itu hanya apa yang diletakkan sahaja. Kita tak boleh buat andaian terus. Lagi pun liga belum lagi bermula.
“Saya yakin peluang itu sama rata dan saya akan fight untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama pasukan,” katanya.
Adam yang merupakan antara tonggak utama skuad bola sepak Bawah 22 Tahun negara yang membantu memenangi pingat perak dalam acara bola sepak Sukan SEA 2017.
Beliau menjadi antara pemain muda yang berjaya dipancing oleh pasukan juara Liga Super empat kali, JDT.
Pengarah Sukan JDT, Martin Prest sebelum ini pernah menyatakan kemasukan Adam ke dalam skuad JDT sebagai sebahagian daripada pelan jangka masa panjang kelab itu.
“JDT bakal mengharungi lebih kurang 52 perlawanan untuk kesemua pertandingan pada musim hadapan dan disebabkan itu kami memerlukan skuad yang besar bagi melakukan penggiliran pemain.
“Ini juga bertujuan supaya apabila pemain senior tidak lagi bersama pasukan pada masa akan datang, pemain-pemain inilah yang akan menggalas tugas pemain senior,” jelasnya dalam laman facebook rasmi JST.