Dalam satu siaran media terkini pasukan Sime Darby FC, mereka mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Malaysia.
Sime Darby juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong mereka selama 8 tahun pembabitan mereka dalam Liga Malaysia.
Berikut adalah petikan rasmi kenyataan mereka:
“Kelab Bolasepak Sime Darby (SDFC) ingin mengumumkan secara rasminya bahawa SDFC tidak akan bertanding di dalam pertandingan bolasepak Liga Perdana 2018.”
Sime Darby FC akan bertanding dalam liga Kuala Lumpur selepas ini yang akan bermula tidak lama lagi.
“Namun begitu, sebagai ahli gabungan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), pasukan akan kekal bertanding dalam pertandingan bolasepak Liga Kuala Lumpur (Bahagian Satu).”
“Liga Kuala Lumpur dijadualkan bermula pada 7 Disember 2017 dan akan lebih fokus pada program pembangunan bolasepak bawah 12 tahun bermula Januari 2018 di Padang Latihan SDFC, Bukit Jelutong.”
Sejarah
“SDFC telah memulakan perjalanan sebagai pasukan yang kecil tujuh tahun lalu sebagai juara Piala FAM 2010 seterusnya berkembang menjadi pasukan yang disegani apabila berjaya menewaskan banyak pasukan negeri yang berpengalaman ketika bertanding pada peringkat Liga Perdana pada tahun 2011, 2012 dan 2013.”
“SDFC terus melakar kecemerlangan apabila berjaya melayakkan diri ke Liga Super dan mengekalkan kecemerlangan pasukan pada tahun 2014.”
Pencapaian membanggakan
“Pasukan ini juga telah mencipta sejarah apabila menjadi pasukan berstatus kelab pertama yang melayakkan diri ke peringkat akhir Piala FA pada tahun 2012.”
“SDFC juga pernah dianugerahkan kelab terbaik di dalam Majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan dalam tahun yang sama. Selain itu, hasil kerja kuat dan semangat barisan pemain musim ini, SDFC telah merangkul gelaran juara Piala FAM buat kali kedua pada Oktober yang lalu.”
Selamat tinggal dan terima kasih
“SDFC dengan penuh rendah diri ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung sejak awal penubuhan kelab pada tahun 2010.”
“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong-penyokong kami yang tidak pernah penat memberikan sokongan pada pasukan SDFC selama ini.”
“Kepada barisan pemain serta barisan kejurulatihan SDFC, kami mengucapkan jutaan terima kasih atas segala sumbangan dan perjuangan anda bersama pasukan musim ini. Kami juga ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada semua yang masih aktif dalam bolasepak.”
“Akhir kata, nama SDFC bakal dikenang dan akan diingati sebagai sebuah kelab yang kecil namun berjaya memberikan saingan sengit kepada pasukan-pasukan lain yang bertanding di dalam Liga Malaysia. Semoga kita berjumpa lagi!”
Selamat tinggal Sime Darby dari kancah Liga Malaysia. Ya! Nama anda akan diingati oleh peminat bola sepak tempatan.