Paul Pogba telah membuktikan betapa pentingnya kehadiran dirinya di dalam kesebelasan utama Manchester United dalam kemenangan 4-1 ke atas Newcastle United pada hujung minggu yang lalu.
Lebih manis buat Pogba, beliau telah menjaringkan 1 gol selepas tidak beraksi bersama skuad kendalian Jose Mourinho selama beberapa minggu akibat kecederaan harmstring yang dialaminya.
Pogba turut mencipta satu bantuan gol buat Anthony Martial dalam perlawanans tersebut, cukup untuk mengujakan penyokong Manchester United yang berada di Old Trafford dan jutaan lagi yang menonton di kaca televisyen di seluruh dunia.
Keterujaan penyokong Manchester United boleh difahami. Tanpa perancang tengah daripada Perancis itu, United tewas dalam dua perlawanan, masing-masing menentang Huddersfield dan juga Chelsea.
Tidak hairanlah pujian dihamburkan terhadap Pogba selepas kepulangannya di dalam senarai kesebelasan Mourinho jelas memberikan perbezaaan terhadap corak permainan United.
Namun demikian Rafael Benitez mempunyai pendapat yang berbeza menngenai Pogba walaupun pasukan kendaliannya ditewaskan dengan mudah oleh Manchester United.
Benitez yang mempunyai perseteruan tersendiri dengan Manchester United ketika tempoh 5 tahun di Liverpool berpendapat Pogba tidak boleh disamakan dengan legenda Liverpool, Steven Gerrard ketika ditanya oleh wartawan mengenai persamaan kedua-dua pemain tersebut.
“Tidak. Mereka adalah 2 pemain berlainan. Stevie adalah pemain berkelas dunia untuk bertahun-tahun lamanya. Beliau sangat konsisten dan akan merupakan pemain yang akan memberikan kelebihan di dalam setiap perlawanan. Jelas Stevie adalah pemain berkelas dunia.”
“Pogba adalah pemain yang bagus. Namun Pogba perlu beraksi konsisten untuk 10 hingga 15 tahun untuk disamakan dengan Steven Gerrard.”
“Pogba bukan pemain saya. Maka saya enggan bercakap terlalu banyak mengenai beliau. Dia adalah pemain yang bagus seperti kebanyakkan pemain yang Manchester United miliki.”
“Tapi saya hanya mahu menumpukan perhatian untuk mempertingkatkan prestasi pemain di dalam pasukan kendalian saya,” ujar Benitez.
Rafael Benitez dan juga Jose Mourinho jarang sekali bertegur sapa sejak Benitez masih di Liverpool dan Mourinho mengendalikan Chelsea satu ketika dulu.
Namun kali ini Mourinho jelas adalah individu yang memiliki senyuman yang lebih lebar selepas memenangi perlawanan ke atas seteru lamanya Benitez.