Analisis Taktikal: Mourinho Memperbaiki Struktur Dan Intensiti Pada Separuh Masa Kedua

Manchester United berhadapan dengan 2 isu taktikal yang jelas dalam perlawanan ini pada separuh masa pertama.

1. Bek berempat tak berdisplin

Apa yang berlaku adalah, bek berempat mereka terlalu cepat untuk ‘menyerang’ pembawa bola dan kemudian meninggalkan ruang besar di belakang.

Ini adalah antara senario yang berlaku beberapa kali dalam 45 minit pertama:

Mereka sangat mudah panik apabila berhadapan dengan situasi 3 vs 4 atau 4 vs 4. Man. United melayan Newcastle seperti sedang bermain menentang pasukan Manchester City. Tidak ada ketenangan (composure) ketika bertahan.

2. Perlindungan lemah daripada Pogba-Matic

Dalam perlawanan ini, Paul Pogba sangat baik ketika menyerang. Namun ketika bertahan pada separuh masa pertama ada banyak isu yang ketara.

Newcastle memulakan perlawanan ini dengan sangat positif dan mereka melaburkan ramai pemain di blok atas. Di tengah, Newcastle diberikan ruang yang sangat besar untuk menukar arah bola ke kawasan sisi ataupun terus mara lebih jauh.

Dalam rajah di bawah ini saya gambarkan struktur 4-3-3 United di mana Pogba tidak membantu Matic bertahan di zon penting. Matic berhadapan dengan kecelaruan sama ada dia perlu bermain pivot tunggal ataupun kembar.

Newcastle dengan mudah mencipta 4-2-4 daripada 4-4-2. Ini kerana struktur United di tengah yang tidak menyokong pertahanan.

2 pemain sayap mereka, Martial tidak cukup komited untuk bertahan berbanding dengan Rashford. Jadi ancaman Newcastle banyak dari arah Young dan Martial. Young sekali lagi menunjukkan dia bermasalah dengan sistem bek berempat. Dia boleh bermain bek sayap tetapi lemah sebagai bek sisi.

Sebelum ini Rashford berada di koridor sama dengan Young dan pemain ini lebih defensif.

Improvisasi separuh masa kedua 

Apa yang dilakukan oleh Mourinho pada separuh masa kedua adalah mengarahkan pasukan beliau lebih padat ketika bertahan.

Seterusnya mereka meningkatkan permainan berpasukan dengan perlindungan ke atas bek berempat lebih baik. Mata diarahkan untuk lebih banyak bertukar peranan dengan Paul Pogba. Ini adalah heatmap Pogba dalam perlawanan ini yang jelas sangat ofensif.

Ini pula heatmap Mata dan Matic untuk menyokong peranan Pogba yang aktif naik ke atas. Anda boleh saksikan Mata dan Matic telah mewujudkan satu perlindungan di 2 zon tengah pertahanan (DM).

United lebih kemas dengan bola mengelakkan pasukan lawan memegang bola lebih lama berbanding separuh masa pertama. Kemasukan Fellaini lebih kepada untuk menjaga kecergasan Pogba.

Dan 70 minit adalah minit yang diberikan doktor untuk beliau. Sistematik bukan pengurusan mereka? Pogba terus diarahkan ke bilik persalinan untuk menjalani pemeriksaan.

High Pressing

United mengaktifkan high line pressing pada separuh masa kedua dengan meningkatkan intensiti. Jadi, mereka kini bertahan di kawasan lawan dan banyak sekali memenangi bola di kawasan lawan.

Mereka mendesak Newcastle United melakukan kesilapan.

Jadi tiada isu 2 pemain bek tengah pergi ke arah pemain  yang sama. Lihat aksi Smalling di bawah ini dan lihat Lindelof bersedia untuk mengisi ruang yang betul ketika Smalling keluar.

Rumusan

Saya tak menggariskan aspek serangan kerana ia tak rosak. Dari awal lagi mereka memberikan masalah kepada Newcastle dengan pendekatan hantaran silang kepada penyerang target man.

Manchester United melakukan 38 hantaran silang dalam perlawanan ini. Newcastle memang bermasalah untuk mempertahankan kotak penalti mereka daripada ancaman bola lintang.

United cuma memperbaiki benda yang rosak iaitu dari konteks bertahan secara berpasukan. United membunuh perlawanan ini pada minit ke-70. Pada minit ke-54 (Gol ke-3) lagi Newcastle sudah gagal memberikan persaingan lebih positif seperti awal separuh masa pertama.

United berhak menang perlawanan ini kerana perubahan taktikal yang dilakukan pada separuh masa kedua. Ya  mereka masuk ke bilik persalinan dengan kedudukan 2-1. Tetapi secara berpasukan mereka tidak cukup baik.

Pada separuh masa kedua, pemain diarahkan lebih berdisiplin, lebih cepat melepaskan bola dan lebih aktif bergerak mencari dan meminta bola.

Percayalah, jika mereka tidak melakukan perubahan taktikal, mereka berpotensi kehilangan mata dalam perlawanan ini. Kerana mereka memberikan peluang kepada lawan mereka menyerang dengan numerical advantage.

Apa yang boleh kita pelajari, jangan perbaiki benda yang tak rosak.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN