Kesebelasan Impian Pemain Import Era 90an Di Liga Malaysia

Kita tidak boleh menafikan bahawa sumbangan pemain import adalah signifikan dalam membawa sesebuah pasukan ke mercu kejayaan di mana-mana kelab bola sepak di seluruh dunia. Begitu juga di dalam kancah Liga Malaysia.

Memandangkan penulis berada dalam kategori umur 30an, justeru kenangan liga Malaysia pada sekitar 90an antara yang paling diingati.

Manakan tidak, ketika itu lah ‘excitement’ dengan bola sepak memuncak ekoran komitmen yang sangat rendah berbanding berada di usia ketika ini.

Artikel ini bolehlah dikategorikan sebagai ‘memory refresh’, cuma metodologinya disusun mengikut aturan kesebelasan utama agar dilihat membentuk satu skuad yang telah menggegar landskap bola sepak Malaysia.

Berikut ialah barisan impian bekas pemain import sekitar 90an yang meninggalkan legasi penceritaan dalam memori bola sepak Malaysia.

Penjaga gol: Karel Stromsik (Selangor)

Penjaga gol kelahiran Czechoslovakia ini menjadi tumpuan sekitar penghujung 80an dan awal 90an. Selain tumpuan terarah kepada penjaga gol tempatan, Karel Stromsik membuktikan mengapa Selangor turut memerlukan penjaga gol import. Beliau berjaya membantu Selangor menjuarai Piala FA 1991 selepas menewaskan Perak.

Hadir dengan reputasi sebagai pemain kebangsaan dan pernah membuat penampilan di Piala Dunia 1982, beliau selayaknya dilabel sebagai penjaga gol terbaik Selangor selepas R. Arumugam dan Rashid Hassan.

Bersama pasukan Selangor selama 3 tahun, beliau kembali ke Malaysia sebagai penasihat teknikal dan jurulatih beberapa pasukan seperti Public Bank, Felda United dan PKNS FC.

Kredit: Pemilik gambar

Pertahanan: Olubunmi Adigun (Kedah)

Sinonim dengan panggilan kereta kebal skuad Hijau Kuning dek kerana kekebalannya mempertahankan kubu pasukan.

Didatangkan bersama pakej import iaitu Peter Nieketien dan Tibor Szaban, skuad Kedah ketika itu berjaya merangkul kejuaraan liga divisyen dua 1992, finalist Piala Malaysia 1992, juara liga bahagian satu 1993 dan juara Piala Malaysia 1993.

Memiliki karakter yang pelik apabila mengenakan ikatan kain putih pada leher dan pergelangan tangannya, pemain dari Nigeria ini turut memilih nombor 10 sebagai nombor pada jersinya yang jelas bukan menjadi kelaziman buat seorang pemain pertahanan.

Kredit: Pemilik gambar

Pertahanan: Alan Davidson (Pahang)

Pemain kelahiran Melbourne, Australia boleh dianggap ‘versatile’ apabila boleh beraksi dibahagian pertahanan kiri atau kanan selain turut boleh bermain di bahagian tengah.

Bersama Pahang pada tahun 1992, kehadiran pemain ini segera menghadirkan impak apabila menjadi salah satu watak kepada kejuaraan Pahang dalam saingan liga dan Piala Malaysia 1992.

Hantaran jauh beliau dari tengah padang berjaya dimanfaatkan Zulhamizan Zakaria untuk memberi kemenangan kepada Pahang.

Pada perlawanan akhir itu juga, beliau dipilih sebagai pemain terbaik. Penampilannya bersama skuad Australia tidak mengecewakan apabila telah merekodkan sebanyak 51 caps, dan pernah beraksi bersama pasukan Nottingham Forest di UK.

Anaknya, Jason Davidsson adalah warisan karier bola sepaknya dan pernah bersama pasukan kebangsaan Australia.

(Photo by Getty Images)

Pertahanan: David Evans (Sarawak)

Dua ciri istimewa yang boleh digambarkan buat pemain kelahiran Australia ini iaitu, pemain paling tinggi yang pernah beraksi di Malaysia dan pemain import paling lama yang pernah bermain di Malaysia.

Telah membuat lebih dari 100 penampilan di Malaysia, pemain yang mempunyai ketinggian 6 kaki 6 inci ini memiliki kekuatan di udara dan memanfaatkan kelebihan fizikalnya untuk menjaringkan gol menerusi ‘set-piece’.

Kehadiran beliau turut membantu Sarawak menjuarai Piala FA 1992 dan juga Liga Perdana Malaysia pada 1997.

Kontraknya bersama pasukan Sarawak tidak disambung apabila pada ketika itu disebabkan syarat baharu mengenai pemain import diubah menjadikan liga Malaysia hanya dibarisi pemain tempatan.

Kredit: Pemilik gambar

Tengah Bertahan: Jang Jung (Perak)

Pemain kelahiran Korea Selatan yang pernah bersama Perak pada tahun 1990-1992. Sepanjang 2 tahun bersama Perak, beliau membantu skuad Seladang menjuarai Piala FA 1990.

Selain itu, skuad kendalian Marco Bilic pada tahun 1991, meletakkan Jang Jung sebagai pemain regular dan turut beraksi di pentas akhir, malangnya, Perak tewas 1-0 ke atas Selangor.

Memilih berkelana di Singapura bermula 1994, pemain ini memilih bidang kejurulatihan selepas menamatkan karier sebagai pemain. Antara pasukan yang pernah dikendalikan adalah Geylang, Balestier Khalsa dan pernah kembali bersama Perak pada tahun 2012.

Kredit: Yob4Ever.com

Sayap Kanan: Abbas Saad (Johor)

Merupakan watak penting yang mencetus kegemilangan pasukan Johor pada tahun 1991. Selain Abbas, Ervin Boban dan Allistair Edward turut berperanan dalam membawa pasukan Johor menggondol kejuaraan berganda ketika itu.

Melakukan ‘debut’ bersama skuad kebangsaan Australia di usia belasan tahun banyak memberi kenangan manis buat karier bola sepaknya.

Walaupun sekadar perlawanan persahabatan bertemu Torpedo Moscow, ia banyak memberi pendedahan yang baik buatnya.

Tahun 1994 merupakan kemuncak prestasinya dalam Liga Malaysia, apabila menjadi watak penting yang membawa kemenangan Singapura pada kejohanan Piala Malaysia selepas menjaringkan 3 gol ke atas Pahang di Stadium Shah Alam.

Kredit: Strait Times

Tengah: Zoran Nikolic (Kuala Lumpur)

Memiliki karakter selaku jeneral yang berpengaruh di bahagian tengah menerusi rembatan jarak jauh dan hantaran tepat ke arah penyerang.

Bersama skuad Selangor terlebih dahulu sekitar tahun 1989, pemain dari Yugoslavia (Serbia) ini mula bersama skuad Ibu Kota pada tahun 1991 bersama legenda pemain tempatan yang lain seperti Lim Teong Kim, Razip Ismail dan V. Murugan.

Pada tahun 1992, beliau berjaya membantu skuad KL ke pentas akhir Piala FA, namun tewas 2-1 ke atas Sarawak.

Kredit: Pemilik gambar

Tengah menyerang: Merzagua Abderrazak (Pulau Pinang)

Pemain kelahiran Maghribi pernah menggegar arena bola sepak Malaysia di penghujung tahun 90an. Pernah beraksi bersama lagenda Maghribi, Mustapha Hadji, kehadiran pemain ini bersama Pulau Pinang banyak merubah kisah bola sepak skuad Pulau Mutiara itu.

Beliau merupakan nadi pasukan dan membantu pasukannya menjadi juara liga pada tahun 1998. Persembahan yang bertenaga bersama pasukan Pulau Pinang menjadikan beliau diangkat sebagai pemain import terbaik.

Merzagua bersama semula dengan skuad Pulau Pinang tetapi selaku jurulatih pada tahun 2013 dan berjaya membawa Pulau Pinang naik semula ke Liga Perdana.

Kredit: Pemilik gambar

Sayap Kiri: Fandi Ahmad (Kuala Lumpur)

Memiliki kegemilangan bersama Singapura sejak usia remajanya. Bersama pasukan Singapura seawal usia 16 tahun dan sudah merasai aura perlawanan akhir Piala Malaysia pada usia 18 tahun.

Selepas berkelana di Indonesia dan Eropah sekitar tahun 1982-1985, Fandi memilih Kuala Lumpur sebagai pasukan baharunya. Kehadirannya berjaya menghentikan dominasi Selangor ketika itu apabila KL berjaya merangkul kejuaraan Piala Malaysia bagi musim 1987,1988 dan 1989.

Musim 1991, Fandi menyertai Pahang selepas pulang dari Greece pada tahun 1990. Beliau turut memberi impak positif buat Pahang selepas menjuarai kejuaraan liga dan Piala Malaysia tahun 1992.

Kredit: Pemilik gambar

Penyerang: Peter Nieketien (Kedah)

Peter Nieketien adalah seorang lagi pemain import Kedah yang berasal dari Nigeria dan pernah beraksi bersama skuad kebangsaan negaranya pada peringkat umur B-17 dan B-20.

Mula bersama pasukan ketika berusia 24 tahun, kehadiran beliau turut dirasai dan merupakan antara watak penting menjadikan pasukan Kedah sebagai pasukan yang tidak pernah tewas sepanjang kempen liga pada awal 90an.

Pada tahun 1994, beliau berhijrah ke Terengganu dan hanya kekal semusim bersama skuad Penyu itu. Beliau menamatkan kariernya di liga divisyen dua Jerman selepas mengalami kecederaan lutut.

Hari ini Peter Nieketien memiliki lesen kejurulatihan UEFA B, dan menetap di Lagos, Nigeria.

Kredit: Pemilik gambar

Penyerang: Scott Ollerenshaw (Sabah)

Membuat penampilan pertama dalam saingan Liga Malaysia pada tahun 1994 bersama skuad Sabah. Gandingannya bersama penyerang tempatan, Matlan Marjan begitu berbisa menjadikan Sabah antara pasukan yang disegani ketika itu.

Menerima anugerah kasut emas sebanyak 2 kali (1995 dan 1996) dan menjaringkan lebih dari 100 gol dalam aksi liga domestik selama 4 tahun bersama Sabah. Penampilan pemain ini berjaya membantu Sabah menjuarai Piala FA 1995 dan juara liga 1996.

Berhijrah ke pasukan Negeri Sembilan pada tahun 1998 dan menyaksikan pemain ini kurang memberi impak buat pasukannya. Beliau memilih untuk bersara pada usia 31 tahun selepas mengalami kecederaan.

Kredit: Pemilik gambar

Pemain simpanan pilihan kami:

Abukari Damba (Perak)

Borhan Abu Samah (Pahang)

Emile Mboh Mboh (Perlis)

Brian Bothwel (Brunei)

John Hunter (Sarawak)

Gus Cerro (Pahang)

Zsolt Bucs (Selangor)

Rumusan

Bagaimana dengan anda? Anda pasti mempunyai pilihan tersendiri untuk membarisi kesebelasan utama pemain import pilihan anda. Siapakah yang akan anda sandarkan sebagai penyerang, pemain tengah, pertahanan dan juga penjaga gol.

Kami mahu mendengarnya daripada anda. Sila coretkan di ruangan komen pilihan anda masing-masing.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN