Tujuh perlawanan tanpa sebarang kemenangan sejak jurulatih dari Portugal, Nelo Vingada dilantik sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya.
Malah, beliau turut mengaku ia prestasi terburuknya sepanjang bergelar jurulatih.
Skuad Harimau Malaysia sah tersingkir daripada kempen kelayakan Piala Asia 2019 susulan kekalahan 1-4 kepada Korea Utara di Stadium I-Mobile, malam tadi dan hanya mampu mengutip 1 mata selepas 5 perlawanan.
Disebalik prestasi buruk ini, Vingada dilihat masih belum berputus asa untuk membimbing Harimau Malaya dengan memberi jaminan prestasi skuad itu akan menjadi lebih baik pada masa akan datang.
“Memang saya tidak gembira dengan keputusan malam ini dan ia rekod terburuk saya. Apapun, ia belum berakhir walaupun Malaysia sudah tersingkir dari pusingan kelayakan Piala Asia.
“Malaysia mempunyai pemain muda yang berpotensi untuk masa depan, tapi ia memerlukan masa untuk saya membentuk pasukan mantap.
“Mungkin dalam tempoh kurang daripada dua tahun lagi kami mampu tewaskan Korea Utara. Sekarang ini sasaran utama kami ialah Piala AFF Suzuki tahun depan,” katanya pada sidang media.
Vingada juga tidak mahu terlalu bimbang tentang kedudukan Harimau Malaya dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
“Saya lebih bimbang mengenai kekalahan berbanding ranking. Ranking bukan menunjukkan kemampuan sebenar pasukan.
“Jadi, ranking bukan keutamaan saya. Mungkin saya boleh saja minta adakan perlawanan persahabatan dengan pasukan ranking bawahan seperti Brunei untuk mendapatkan mata dalam ranking.
“Tapi ia tidak membantu peningkatan prestasi pasukan, kami perlukan pasukan lebih baik untuk diuji dan pada masa sama pemain boleh belajar banyak perkara,” katanya kepada berita harian.
Sementara itu, pengkritik bola sepak tanah air, Serbegeth Singh mengaku kecewa dengan persembahan skuad Harimau Malaya apabila tumpas 1-4 kepada Korea Utara dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019 di Buriram, Thailand.
Serbegeth atau lebih popular dengan panggilan Shebby berkata, percaturan Vingada yang tidak menyenaraikan seorang pun tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam kesebelasan utama jelas menimbulkan kehairanan ketika khidmat mereka amat ditagih pada aksi penting itu.
Jelasnya, kegagalan bekas pengendali Arab Saudi itu menurunkan barisan terbaik tidak boleh dimaafkan lagi dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) harus memecat jurulatih dari Portugal itu.
“Selepas kekalahan kepada Korea Utara (1-4) dalam aksi pertama pada Jumaat lalu, sepatutnya beliau tidak harus kekal bersama pasukan.
“Apa yang lebih mengelirukan bukan saja keputusan taktikal beliau, malah Vingada masih lagi diberi harapan hingga ke perlawanan ini.
“Sejak beliau membimbing pasukan bukan saja kita gagal raih sebarang kemenangan, kita juga gagal menunjukkan persembahan yang baik. Jelas sekali Vingada tak berwibawa dan tak layak.
“Dengan kekalahan malam ini, pada saya Vingada sudah membunuh bola sepak Malaysia dan rasanya ini kekalahan paling memalukan selepas kekalahan 0-10 kepada UAE (Emiriah Arab Bersatu) dua tahun lalu,” katanya kepada berita harian.
“Selepas ini tentunya akan ada suara-suara yang menyatakan pemain kita tak cukup bagus dan sebagainya. Jadi saya mencabar mana-mana pihak tak kira jurulatih atau pentadbir untuk menyebut secara umum bahawa pemain-pemain kita tak bagus,” katanya yang pernah bermain untuk negara sekitar tahun 80-an.