Pengurus Itali, Giampiero Ventura mengaku pasukannya memerlukan ‘persembahan menakjubkan’ pada perlawanan play-off kelayakan Piala Dunia 2018 menentang Sweden di halaman sendiri pada hari Isnin nanti di San Siro jika mahu mengelak daripada terlepas Piala Dunia sejak 1958.
Gol tunggal Sweden hasil jaringan pemain tengah AEK Athens, Jakob Johansson yang terbias dari kaki Daniele de Rossi memberi bekalan 1 gol yang penting buat pasukan Scandivania tersebut di Friends Arena, Sweden.
Tugas Itali turut akan menjadi lebih sukar apabila Marco Veratti akan menjalani penggantungan perlawanan selepas mengumpul kad kuning ketiga awal pagi tadi.
Secara keseluruhannya, Itali adalah pasukan yang lebih baik. Tetapi pendekatan fizikal dan tempo tinggi yang ditunjukkan Sweden jelas menganggu konsentrasi pemain-pemain Italy.
Penyerang Sweden, Marcus Berg yang menjaringkan 8 gol dalam peringkat kelayakan dilayangkan kad kuning seawal 50 saat perlawanan berlangsung. Ola Toivonen pula menyiku Leonardo Bonucci sehingga menyebabkan hidung pertahanan AC Milan tersebut patah.
Berg mempertahankan pendekatan fizikal Sweden. Sebaliknya beliau mendakwa pemain-pemain Itali cuba membuatkan beliau dibuang padang.
“Mereka [Itali] secara jelasnya mahu membuatkan saya dibuang padang. Mereka jatuh setiap kali ada peluang berbuat begitu. Saya tahu perlawanan malam ini akan menjadi ‘perang’. Tapi kami akan beri ‘peperangan’ yang sebenar kepada mereka pada Isnin nanti,” kata Berg.
Sweden lebih banyak berkampung di kubu sendiri pada separuh masa kedua. Tetapi lontran ke dalam Emil Kraft yang ditanduk oleh Ola Toivonen sebelum dirembat dari jarak 20 ela oleh Johansson terkena De Rossi yang mengelirukan Gianluigi Buffon.
Sweden yang tewas kepada Itali semasa EURO 2016 perlu mengelak daripada bolos di San Siro pada malam Isnin (awal pagi Selasa waktu Malaysia) untuk layak ke Piala Dunia buat kali pertama sejak 2006.
3-5-2 Itali tak menjadi
Ventura yang mempertaruhkan formasi 3-5-2 untuk menggandingkan Andrea Belotti dan Ciro Immobile sekali lagi gagal menurunkan penyerang sayap Napoli yang sedang ‘panas’, Lorenzo Insigne.
Belotti yang pernah bermain di bawah kendalian Ventura ketika pengurus 69 tahun tersebut mengurus Torino gagal memberikan Itali gol pendahuluan selepas tandukannya dari hantaran lintang Matteo Darmian sekadar melewati tiang.
Sepanjang perlawanan, Belotti hanya menyentuh bola selama 5 kali sahaja. Ia adalah fakta bahawa persembahannya di halaman Sweden awal pagi tadi perlu diperbaiki.
Darmian paling hampir untuk memberikan gol kepada Itali pada separuh masa kedua apabila rembatan jarak jauhnya hasil hantaran Verratti sekadar singgah ke tiang.
Itali membawa Insigne masuk juga dalam masa 15 minit terakhir perlawanan. Tetapi beliau juga tak mampu berbuat apa-apa ketika berdepan dengan pertahanan Sweden yang degil.
Keputusan ini bermakna penjaga gol lagenda Itali, Gianluigi Buffon yang meraih kaps ke-174 beliau dalam perlawanan ini, berpotensi terlepas Piala Dunia ke-6 beliau. Sebelum ini, Buffon pernah mengumumkan akan bersara selepas Piala Dunia 2018.
swedenitaly from Ahmad Muzammil on Vimeo.