Antonio Conte menyamakan kejuaraan EPL Chelsea musim lalu adalah mirip dengan apa yang dilakukan Leicester pada musim 2015/16.
Sebelum ini, Conte memberitahu beliau tidak risau dengan kedudukan beliau dan yakin tidak akan menjadi seperti Jose Mourinho yang dipecat pada musim kedua selepas menjuarai EPL.
Conte memberitahu yang Chelsea kini dalam proses membina semula pasukan selepas perginya generasi sebelum ini.
“Jangan lupa, dalam 4 atau 5 tahun terakhir ini, kami kehilangan pemain-pemain penting seperti Drogba, Cech, Lampard, Terry, Ivanovic, Mikel, Matic.”
“Saya bercerita tentang pemain-pemain yang mengukir sejarah untuk kelab ini. Kerana mereka sudah bermain di sini dalam banyak musim dan mereka bermain di UCL, separuh akhir serta akhir.”
“Sekarang ini kami bermula sekali lagi untuk membina sesuatu yang penting. Cuba untuk meletakkan kelab ini kembali sekali lagi kepada perkara seperti itu.”
“Jika anda rasa dengan memetik jari kita sudah bersedia untuk bertarung, ia tak semudah itu. Musim lalu adalah satu keajaiban.”
“Saya rasa Leicester melakukan keajaiban luar biasa kerana mereka biasanya bertarung untuk penyingkiran tetapi kerana keajaiban yang sangat besar, mereka juara.”
“Untuk Chelsea, pasukan ini pernah menjuarai liga satu ketika dahulu, dan anda juga harus faham bila ia detik yang bagus untuk menjuarai liga dan bila ia menjadi satu kejutan.”
“Jika ia satu kejutan, bermakna anda sedang melakukan kerja ajaib. Saya berpendapat kejuaraan musim lalu itu satu keajabian.”
“Ia keajaiban apabila pemain yang sama sebelum ini menduduki tangga ke-10, menjuarai liga.”
“OK, memang perpindahan kami ketika itu baik dengan kemasukan Batshuayi, Kante dan Alonso. Jika tak salah saya, anda (media) antara yang pertama menyatakan kami musim lalu bersedia untuk menjadi lebih teruk daripada musim sebelumnya.”
“Saya ingat tajuk-tajuk akhbar. Tak apalah, saya buat kesilapan dan ada pun sama juga.”
Ditanya, apakah sebab beliau tidak melanjutkan kontrak lebih panjang daripada tempoh 2019. Conte menjawab:
“Jujurnya saya menikmati detik kemenangan di sini musim lalu. Saya bukan pengurus yang suka meminta masa, sebaliknya tugas saya adalah untuk bekerja dan bekerja sepenuhnya untuk kelab ini.”